utama

Karya asli tulisan sendiri

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEHADIRAN penyanyi popular, Sufian Suhaimi dalam industri hiburan tempatan tidak boleh lagi dipandang sebelah mata.

Walaupun pada awal kemunculannya ramai yang mengkritik kemampuan dimiliki, namun hari ini Sufian, 28, sudah jauh meninggalkan rakan seangkatan lain yang pernah digelar Budak Baru Nak Up (BBNU).

Kebijaksanaan Sufian bukan saja pada setiap lagu yang dilancarkan, tetapi juga strategi perjalanan seni yang disusun cantik sesuai dengan peredaran semasa.

Dalam pada kebanyakan penyanyi menjadi pelakon, Sufian juga tidak terkecuali mencuba nasib. Ternyata, percubaannya berhasil.

Jika artis juga berlumba-lumba menjadi ahli perniagaan, Sufian turut berjinak-jinak dalam perniagaan Zikir Pillow by BabyPian.

Terbaharu, atas permintaan ramai terhadap persembahan syair menerusi lagu Di Matamu pada Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33), Sufian akhirnya melancarkan buku puisi Di Matamu Senandika Sufian Suhaimi.

Senandika membawa maksud isi hati. Secara keseluruhan, buku ini adalah luahan perasaan Sufian terhadap apa dilaluinya dulu dan sekarang.

“Puisi dalam buku ini adalah karya asli saya dan dikumpul sejak 2012 ketika mula menuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza). Sebelum ini tak terfikir pun nak diterbitkan.

“Cuma, selepas persembahan syair menerusi lagu Di Matamu pada AJL 33 lalu menjadi tular, banyak permintaan untuk saya terbitkan puisi. Ketika itu, saya berasakan mungkin ini waktu sesuai untuk berkongsi kepada umum.

“Mungkin proses menerbitkan lambat sebab baru sekarang buku ini siap. Ada 60 koleksi puisi dimuatkan dalam buku ini dan tiada lagi yang disimpan,” katanya.

Sebagai permulaan, syarikat penerbitan, Nine Flix mencetak 2,000 naskhah dan dalam proses untuk dipasarkan di kedai buku terkemuka seluruh negara.

“Kalau habis kita cetak lagi. Cuma, tidak akan ada bahagian kedua atau seterusnya.

“Sebab semua puisi sudah ada dalam buku ini. Lagi pula, proses nak hasilkan puisi panjang bermula dari nak menulis lagi.

“Pendek kata, buku ini adalah koleksi peribadi dan dicetak untuk umum,” katanya.

Selain puisi khas buat Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Untukmu Tun, buku itu juga mengandungi puisi cinta yang menceritakan kisah percintaan yang pernah dilalui.

“Puisi cinta dalam buku ini ditulis secara menyeluruh. Tidak ada satu puisi pun yang ditujukan kepada mana-mana individu.

“Apa yang dirasakan ketika itu saya tulis. Kalau berlaku pada orang lain macam mana perasaannya.

“Selain itu, ada juga puisi yang di dedikasi buat Tun Mahathir dan ia antara karya yang saya suka. Malah, cukup bermakna untuk saya yang mana menceritakan mengenai personaliti, kepemimpinan dan sosok seorang yang dikagumi,” katanya.

Single Janji dapat sambutan

Seperti lagu Terakhir dan Di Matamu, terbaharu lagu Janji yang dilancarkan beberapa minggu lalu turut menjadi siulan anak muda.

“Saya gembira dengan sambutan diberikan. Apabila keluar video muzik, sambutan lebih laju daripada video lirik yang dilancarkan terlebih dahulu.

“Saya terkejut dengan maklum balas yang diterima. Sejujurnya, Janji bukan lagu yang dirancang pada awal untuk dilancarkan.

“Ada lagu sedih lain sebenarnya. Tapi, syarikat rakaman kata sudah banyak lagu sedih. Kalau nak sedih pun, jangan sedih sangat, sedih yang cantik.

“Disebabkan itu, semua sepakat terbitkan Janji dahulu. Lagu ini adalah hasil ciptaan Ikhwan Fattana dan Wan Salleh. Alhamdulillah, ramai suka dengan melodi dan lirik,” katanya.

Sehubungan itu, muzik video lagu Janji yang dilancarkan pada 20 Februari lalu sudah mencecah 900,000 tontonan di YouTube.

Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 6:00am
d