utama

Kes hina Agong: 10 kertas siasatan dibuka

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SEHINGGA kini, sudah 10 kertas siasatan dibuka membabitkan penahanan lima individu kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, sehingga kini lima sudah ditahan dan pihaknya masih mengesan lima lagi yang disyaki terbabit dengan kes itu.

“Lima yang ditahan sudah direman dan sekarang tunggulah keputusan daripada pendakwa raya.

“Kini, polis sedang mengesan yang lain dan dipercayai mereka masih berada dalam negara,” katanya ketika ditemui di Georgetown, hari ini.

Mazlan ditemui ketika hadir dalam satu majlis penyerahan tugas Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, Datuk Sahabudin Abdul Manan menggantikan T Narenasagaran yang bersara wajib di Dewan Mutiara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun berikutan memuat naik status menghina Yang di-Pertuan Agong di Facebook, diikuti penahanan dua lelaki dari Sungai Buloh Selangor dan Sandakan Sabah, semalam.

Mazlan ketika diminta mengulas mengenai seorang daripada suspek yang memiliki kad orang kurang upaya (OKU) mental, berkata individu terbabit boleh sahaja mendakwa dirinya mempunyai masalah kesihatan, namun terpulang kepada mahkamah untuk menentukannya.

“Dalam mahkamah nanti, dia boleh cakap sakit apa saja dan terpulang kepada mahkamah untuk tentukan.

“(Jika) dia pandai menulis dalam sosial media, pandailah dia jawab kepada mahkamah nanti,” katanya.

Kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas perkembangan lain, Mazlan berkata, pihaknya dalam proses memanggil penganjur perhimpunan haram di sekitar ibu negara selepas menerima laporan mengenainya.

“Itu masih dalam tindakan dan akan dilaksanakan kerana laporan polis sudah dibuat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 3:32pm
    d