utama

Neelofa jadi idola

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BAGI penonton setia siaran berita Buletin Utama di TV3, tentu mengenali wajah dan nama Hawa Rizwana Ahmad Redzuan.

Di sebalik wajah jelitanya, gadis berusia 25 tahun ini aktif melakukan senaman dan sentiasa menjalani gaya hidup sihat.

Selain aktif bersukan terutamanya berbasikal, Hawa juga berkongsi beberapa petua yang diamalkannya setiap hari.

“Saya memang menjaga kesihatan dan setiap hari saya amalkan petua yang mudah, tapi banyak manfaatnya. Setiap pagi, lebih kurang 30 minit sebelum makan, saya akan minum air yang diperah dengan lemon dan dicampur dengan madu.

“Sedikit sebanyak, saya mula merasakan manfaatnya antaranya dari segi proses penghadaman dan juga pelawasan di samping madu adalah makanan sunnah,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, pembaca berita Buletin Pagi, Buletin 1.30 dan Buletin Utama ini berkongsi mengenai impiannya untuk menjadi pengacara.

“Saya masih lagi menyampaikan berita di beberapa segmen berita di TV3 dan pada masa sama masih bergelar wartawan. Impian saya adalah untuk mencuba nasib dalam bidang pengacaraan.

“Setakat ini, saya hanya menjadi pengacara di beberapa majlis korporat dan majlis tertutup. Ada juga tawaran yang saya terima untuk mengacarakan program TV, namun semuanya masih dalam perbincangan,” katanya.

Menurutnya, mengacara adalah satu bidang yang mencabar buatnya.

“Menjadi pengacara ada cabarannya yang tersendiri. Jika membaca berita, kita akan membaca skrip yang tertera di prompter. Tapi, kalau mengacarakan sesuatu majlis atau program, ia memerlukan lebih kreativiti,” katanya.

Menurut Hawa yang juga model peragaan ini, dia suka untuk menimba ilmu serta pengalaman baru.

“Sebagai pengacara, kita akan berjumpa dengan ramai orang dan dari situ, kita akan mendapat pelbagai ilmu serta pengalaman baru,” katanya.

Pernah dikatakan mirip pelakon, pengacara dan usahawan jelita Neelofa, Hawa tidak menafikan bahawa dirinya masih lagi dibandingkan.

“Saya tak boleh menghalang atau menutup mulut mereka yang membandingkan saya dengan Neelofa. Bagi saya, dia adalah pengacara yang hebat dan menjadi inspirasi buat ramai orang.

“Jadi, saya rasa tak salah sekiranya saya menjadi salah seorang pendatang baru yang menjadikan dia sebagai idola. Yang pasti, saya ingin lakukan yang terbaik untuk diri saya,” katanya.

Tidak hanya mahu mengehadkan kemampuannya dalam menggunakan kreativiti yang ada, Hawa juga menyimpan minat dalam bidang lakonan.

“Saya pernah berlakon dalam satu telefilem berjudul Aku Tak Raya. Ketika itu saya bergandingan dengan Sufian Suhaimi. Itu adalah pengalaman pertama saya dalam lakonan.

“Kalau nak berlakon lagi, rasanya saya perlu pilih watak yang sesuai memandangkan saya ada jadual kerja sebagai wartawan dan juga penyampai berita. Mungkin sekali sekala, tak jadi masalah. Buat masa sekarang, saya nak fokuskan kepada penyampaian berita dan juga pengacaraan,” katanya.

Ditanya mengenai kisah cinta, gadis kelahiran Kedah yang pernah digosipkan dengan Fizo Omar ini enggan mengulas lanjut.

“Setakat ini, saya belum terfikir lagi mengenai cinta kerana tumpuan saya, 100 peratus saya berikan kepada karier dan bagaimana untuk mengejar impian saya,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 6:00am
d