utama

Mulianya hati Uncle Kentang

Oleh Redzuan Muharam

TIDAK mudah bagi aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng berdepan situasi menyayat hati apabila seorang ibu dan bayinya meninggal dunia selepas tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital, semalam.

Kuan yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkongsi kisah malang menimpa jurukimpal warga Indonesia, Sumadi Sujono, 38, yang kematian isteri ketika melahirkan anaknya, pagi semalam di Puchong Perdana, Puchong, menerusi saluran Youtube.

Kisah itu mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya sedih dengan nasib Sumadi kerana tidak dapat membawa isteri ke hospital kerana masalah kewangan.

Bercerita lanjut, Kuan berkata, dia tahu mengenai kisah Sumadi selepas jiran lelaki berkenaan menghubunginya untuk meminta bantuan.

Tanpa berlengah, Kuan terus bergegas menemui Sumadi yang menetap di bilik sewa di Taman Putra Perdana, Puchong Perdana.

Menurut Kuan, isteri Sumadi, Nor Wahyuni Sukarmin, 35, dipercayai meninggal dunia kerana mengalami komplikasi ketika bersalin.

“Menyedihkan apabila melihat Sumadi duduk tersandar di tepi pintu bilik bersama jenazah isterinya yang ditutup dengan kain.

“Sumadi memberitahu, dia tidak dapat ke hospital bagi menguruskan jenazah isterinya kerana masalah kewangan.

“Disebabkan itu, saya membantunya menguruskan jenazah tetapi buat masa ini, saya dan Sumadi berada di Hospital Serdang untuk menunggu proses bedah siasat selesai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Kuan berkata, dia turut mendapatkan bantuan sukarelawan dan pihak masjid untuk urusan pengebumian jenazah.

“Jenazah si mati, Nor Wahyuni dijangka dikebumikan di tanah perkuburan di Taman Putra Perdana.

“Buat masa ini, saya akan membantu Sumadi memandangkan tiada sesiapa kerana keluarganya jauh di Jawa Timur, Indonesia.

“Malah, selepas kematian isteri dan anak bongsu, hanya anak sulung lelakinya yang ada bersamanya ketika ini,” katanya.

Terdahulu, menerusi laman peribadi Facebook hari ini, Kuan meluahkan kesedihannya dengan kejadian yang menimpa keluarga malang itu.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 2:31pm
d