utama

Segak bertanjak di Konvokesyen Universiti Oxford

Oleh Redzuan Muharam

“KALAU orang barat bertopi, mengapa tidak kita bertanjak. Lagipun, bahasa dan pakaian antara medium menunjukkan tingginya peradaban suatu bangsa,” kata Khair Razlan Othman.

Khair Razlan, 39, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi tujuannya menggayakan tanjak ketika menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Oxford, London, Sabtu lalu.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Khair Razlan berkongsi gambar dan videonya menggayakan aksesori tradisional itu ketika memasuki dewan konvokesyen di Facebook (FB).

Menerusi video berdurasi 55 saat itu, Khair Razlan dilihat berjalan memasuki dewan bersama graduan lain sementara menunggu giliran untuk naik ke atas pentas bagi mengambil skrol.

Bapa empat anak itu dilihat mengesat air matanya ketika berjalan dan sehingga kini, video berkenaan meraih lebih 8,800 tontonan.

Katanya, sebelum tampil dengan imej sedemikian, dia sudah meminta kebenaran daripada penganjur yang tiada halangan untuk memenuhi permintaannya.

“Jujurnya, saya agak gementar dan takut seandainya tidak diberi laluan untuk masuk ke dalam dewan kerana memakai tanjak dan bukannya topi mortar seperti graduan lain.

“Untuk kepastian, saya minta kebenaran dengan Proktor Kolej terlebih dulu dan dia menyambut baik hasrat saya, cuma menyangkakan tanjak berasal dari Indonesia.

“Alhamdulillah, tercapai juga impian saya memakai tanjak di hari konvokesyen dan rasa sebak selepas tepukan gemuruh daripada hadirin di dalam dewan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi WhatsApp, hari ini.

Khair Razlan berkata, bukan saja dirinya, malah bapa, Othman Ahmad dan anak lelakinya turut hadir ke majlis konvokesyen berkenaan dengan memakai tanjak.

Katanya, kehadiran mereka turut mencuri tumpuan masyarakat di sana mungkin kerana tidak pernah melihat individu memakai tanjak sebelum ini.

“Sebelum ke dewan, kami sekeluarga sempat bergambar sama dan menikmati hidangan di kolej.

“Pada waktu itulah, ada yang bertanya dari mana kami datang memandangkan anak dan ayah saya turut bertanjak ketika itu.

“Ia secara tidak langsung memberi saya peluang untuk memperkenalkan budaya dan pakaian tradisional Malaysia kepada masyarakat di sana,” katanya yang dilahirkan di Pontian, Johor.

Khair berkata, dia tidak terfikir gambar dan video dimuat naiknya itu akan tular kerana hanya mahu berkongsi detik hari bersejarah dengan rakan di Facebook.

“Saya tiada niat langsung untuk mengejar populariti menerusi perkongsian berkenaan, tetapi berharap mereka yang menonton dapat mengambilnya daripada sudut positif.

“Lagipun, tanjak adalah warisan tradisional yang perlu dibanggakan dan berharap masyarakat Melayu khasnya tidak malu untuk menggayakannya,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 8:45pm
d