utama

Aktif berlakon selepas kahwin

Oleh Najiy Jefri

STATUS Datin yang dipegang sejak mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Datuk Haniff Borhan pada Mac 2018 tidak sesekali meletakkan dirinya pada kedudukan atau taraf berbeza.

Sebaliknya, pelakon Elvina Mohamad mengakui masih wanita biasa dan tidak kisah sekiranya dia disapa sebagai Datin atau hanya sekadar menyebut nama.

Elvina berkata, tiada istilah wajib untuk memanggilnya dengan gelaran Datin, sebaliknya dia menegaskan hanya menggunakan gelaran itu jika bersama suami di majlis rasmi.

“Masih kekok sampai sekarang. Tak kisah nak panggil apapun, saya okey saja. Tiada istilah orang luar patut panggil saya Datin melainkan jika saya ikut suami menghadiri majlis rasmi. Di situ memang orang panggil saya dengan gelaran Datin.

“Saya tak ambil pusing soal gelaran itu. Tiada syarat atau paksaan yang saya tetapkan. Saya lebih selesa orang panggil saya dengan nama yang sudah diberikan orang tua saya.

“Bagi saya, gelaran Datin ini menyukarkan saya untuk berkomunikasi dengan orang kerana mungkin ada yang berasa tak selesa. Sebab itu saya meminta mereka panggil saya Elvina saja. Itu lebih dekat dan mesra,” katanya.

Siapa sangka walaupun sudah berkahwin dan memiliki cahaya mata lelaki, Karl Mateen yang kini berusia setahun tiga bulan, Elvina terus aktif berlakon dan menerima banyak tawaran.

Walaupun sebelum ini wanita berusia 25 tahun itu pernah menyatakan hasrat untuk menumpukan perhatian terhadap rumah tangga, tapi Elvina sukar menolak rezeki yang datang.

“Alhamdulillah rezeki lepas dapat anak ini lain macam. Memang saya ada merancang untuk tumpukan lebih perhatian kepada keluarga dan anak tapi rezeki berlakon datang secara tiba-tiba dan mendadak.

“Tambahan pula, drama yang ditawarkan pun bukan tangkap muat dan semuanya ada mesej positif. Jadi, saya sayang nak tolak dan berbincang dengan suami untuk aktif berlakon.

“Setakat ini suami sangat memahami minat mendalam saya ini. Anak pun sudah berusia setahun tiga bulan dan dijaga oleh ibu mentua dan seorang pembantu, jadi saya tak risau sangat apabila keluar bekerja,” katanya.

Menurut Elvina, dia turut menolak tanggapan segelintir pihak yang mengatakan pelakon wanita yang berkahwin tidak laku dan kerjaya akan berkubur.

Katanya, dia antara pelakon yang menjadi bukti masih mendapat tawaran demi tawaran walaupun sudah mempunyai suami dan anak.

“Orang selalu kata selepas kahwin tawaran susah nak dapat kerana sudah tidak relevan, tapi sebenarnya rezeki kahwin lagi murah dan banyak.

“Paling penting zaman artis tiada tawaran lepas kahwin sudah tidak boleh dipakai. Siapa kita nak menghalang artis untuk berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Bagi saya setiap tawaran yang datang adalah rezeki anak dan individu itu yang sudah Allah rencanakan,” katanya.

Cita-cita nak berniaga tercapai

Elvina bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan dan dia juga berpuas hati apabila laluan kerjaya seninya terus mendapat tempat.

Terbaru, dia merancang untuk mengintai peluang dalam bidang perniagaan sebagai langkah yang ingin dikembangkan sebagai selebriti.

“Saya memang sudah lama berhajat nak berniaga tapi belum ada rezeki. Tak sangka tahun ini Allah makbulkan impian itu apabila saya tampil dengan koleksi busana bersama pereka Myra Karim.

“Saya harap kerjasama pertama ini akan berjalan lancar dan membuahkan hasil. Doakan semoga impian saya untuk bergelar usahawan tahun ini tercapai,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 6:00am
d