utama

Sejarah buat PAS

Oleh Suraya Roslan

PELANTIKAN Ahli Parlimen daripada PAS menganggotai Kabinet adalah sejarah baharu buat Malaysia apabila tiga daripada mereka dilantik sebagai Menteri manakala lima lagi Timbalan Menteri.

Mendahului senarai adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang); Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Selain itu, lima lagi yang dilantik sebagai Timbalan Menteri adalah Ahmad Marzuk Shaary (Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Hal Ehwal Agama), Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan), Awang Hashim (Kementerian Sumber Manusia), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Kementerian Wanita dan Keluarga) dan Ahmad Amzad Hashim (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi).

Takiyuddin berkata, sebagai parti yang sudah lama bertapak dalam negara, peluang dan amanah yang diberikan kepada Ahli Parlimen PAS akan digalas sebaiknya untuk berkhidmat untuk rakyat.

“Saya mempunyai keyakinan semua yang dilantik mampu menggalas tugas demi kepentingan rakyat,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya perasaannya sebaik dilantik sebagai Menteri, Takiyuddin berkata, dia mempunyai sedikit pengalaman sebagai peguam dan kelebihan itu akan digunakan sebaiknya untuk menggalas portfolio yang diberi.

“Saya pun baru saja tahu mengenai berita ini (pelantikan menteri), namun memang undang-undang termasuk dalam bidang dan kepakaran saya.

“Selain itu, saya juga sudah menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal dan akan menggunakan semua pengalaman untuk bertugas demi rakyat,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Yusof yang dilantik Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga menyifatkan pelantikannya ke portfolio itu adalah satu penghargaan kepada PAS kerana beliau adalah wakil tunggal mewakili muslimat parti.

“Saya bersyukur, kerana kita dapat terus berjuang untuk agama kita. Insya-Allah, hal ehwal wanita dan keluarga ini akan diberi fokus supaya pelbagai isu berkaitan dapat kita tangani.

“Kita juga harap dapat memberikan yang terbaik kepada rakyat dan terima kasih kepada kepercayaan Perdana Menteri. Insya-Allah, saya akan bantu sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar akan memberi komitmen bagi mencapai hasrat Perdana Menteri supaya menteri Kabinet yang dilantik dalam masa terbatas ini dapat memberi fokus pada portfolio yang diberikan.

Katanya, beliau sendiri akan memfokuskan isu besar berkaitan dengan pencemaran alam sekitar di mana kementerian yang diwujudkan secara khusus ini untuk menyelesaikan isu alam sekitar.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan diberikan kepada saya di mana hasrat beliau ingin memberi perhatian pada kebersihan,” katanya.

“Kita harap semua pegawai dapat memberi kerjasama yang baik dalam kementerian ini,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, fokus utamanya adalah membantu menteri menggalas tugas mendaulatkan agama Islam.

Katanya, dia beruntung digandingkan dengan seorang tokoh agamawan disegani serta menjadi pakar rujuk umat Islam di negara ini.

Berita berkaitan:

  • Senarai Kabinet 2020
  • Sejarah buat PAS
  • Ahmad Amzad selesa bekerja dengan KJ
  • Ahmad Amzad selesa bekerja dengan KJ
  • MB Kelantan ucap tahniah kepada Kabinet
  • Enam menteri dari Sabah
  • Tok Pa jaga ekonomi
  • Kombinasi pengalaman pelbagai bidang, kepakaran
  • MCA kembali dalam barisan Kabinet
  • Dr Zulkifli mufti pertama jadi menteri
  • 4 Menteri Kanan ganti TPM
  • Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 7:00pm
    d