utama

Kecaman satu rahmat

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PROSES untuk mencipta nama dalam industri hiburan bukan satu perjalanan yang singkat. Bagi penyanyi Aina Abdul, dia sendiri melalui proses agak panjang.

Bermula dari program realiti Mentor Legend, Aina perlahan-lahan berkarya dan cuba memperjuangkan namanya supaya berada sebaris dengan penggiat seni lain.

Kemunculannya di pentas Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) baru-baru ini, benar-benar membuka mata banyak pihak bukan saja di dalam, bahkan di luar negara.

Namun begitu, persembahannya di pentas AJL34 menerima pelbagai reaksi apabila mempertontonkan sosok wanita yang berdarah dan itu menyentuh sensitiviti beberapa pihak yang berasakan ia sangat keterlaluan.

Itu bagaimanapun tidak menghentikan niat Aina untuk terus berjuang dan akan terus mengetengahkan isu berkaitan tekanan perasaan dan sebagainya.

“Saya takkan berhenti berkarya hanya kerana komen dan dihentam dengan kontroversi. Bukan bererti saya ingin melawan, tetapi saya ingin terus keluarkan satu karya atau konsep yang selari mesej lagu disampaikan,” katanya.

Terbaru, Aina tampil dengan lagu berjudul Semalam yang juga masih menyentuh mengenai perihal emosi dan pemikiran.

“Kalau orang baca lirik lagu Semalam, mereka akan faham apa yang ingin saya ceritakan. Ia mengisahkan mengenai wanita yang dipukul pasangannya dan ditinggalkan saat dia hamil.

“Isu yang saya ketengahkan adalah berkaitan dengan penderaan emosi dan fizikal dalam rumah tangga. Seperti yang saya katakan, saya takkan berhenti dan akan terus ketengah pelbagai isu semasa dalam karya,” katanya.

Ditanya sama ada penghasilan lagu itu berdasarkan pengalamannya sendiri, Aina tidak menolak pernah berdepan situasi sebegitu.

“Mungkin 50 peratus daripada jalan cerita dalam Semalam ada kaitan dengan pengalaman diri saya. Tetapi, saya tak sampai ada pengalaman mengandung atau apa. Cuma, saya pernah berada dalam satu hubungan cinta yang penuh ‘toksik’.

“Benda itu bagaimanapun sudah lama berlalu dan situasinya sekarang, saya sudah mampu menanganinya, berkongsi cerita dan takkan ada rasa sedih lagi,” katanya.

Ditanya sama ada dia bersiap sedia sekiranya bakal menerima kecaman selepas video muzik Semalam dihasilkan, Aina melihat dari sudut positif.

“Kecaman pun sebenarnya satu rahmat dalam karier saya. Saya beritahu kumpulan pengurusan saya, tak semua orang faham apa yang kita ingin sampaikan. Tapi, lihat dari sudut positif

apabila ramai juga orang meninggalkan komen yang baik.

“Sehingga hari ini, masih ada yang menulis komen serta kritikan mengenai video nyanyian saya di AJL34. Kalau nak berhenti dan mengalah begitu saja, tak berbaloi.

“Kalau dulu, mungkin saya ada rasa tertekan dengan komen serta kritikan sehinggakan saya terpaksa sekat akaun media sosial. Sekarang, saya dah tak kisah dan mula terima dengan terbuka,” katanya.

Ditanya sama ada dia ragu-ragu dan risau sekiranya jangkaan peminat terlalu tinggi untuk lagu ini, Aina tidak menolak.

“Lagu Sumpah yang saya persembahkan di AJL34 mungkin dianggap sebagai penanda aras untuk karya saya selepas ini. Takut juga kerana orang akan meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk karya yang lain.

“Selagi tidak ‘menyentuh langit’, mereka (peminat) tidak akan berpuas hati. Sekarang, saya rasa tertekan juga, tapi saya lakukan sebaik mungkin.

“Apa yang boleh saya katakan, lagu Semalam lebih mencabar berbanding Sumpah kerana kunci nadanya lebih tinggi. Itu pun saya sudah kawal supaya tidak terlalu tinggi,” katanya.

Cipta lagu penyanyi lain

Sebaik berakhirnya AJL34, nama Aina tidak hanya didendang sebagai penyanyi dengan vokal hebat, bahkan juga mula disebut sebagai komposer dan penulis lirik yang menghasilkan karya berkualiti.

Susulan itu, Aina mula menerima beberapa tawaran untuk menghasilkan lagu buat penyanyi terkemuka tanah air.

“Alhamdulillah, rezeki selepas AJL34 nampaknya mula ada. Saya ada terima tawaran untuk menulis lagu buat artis lain antaranya, Ernie Zakri dan Misha Omar.

“Untuk lagu baru Ernie, saya dah siapkan dan serahkan draf kepadanya. Dia pun dah mula menyanyi dan memasukkan beberapa idea tambahan memandangkan Ernie mula nak kembangkan kemampuan sebagai komposer,” katanya.

Aina juga meluahkan impiannya untuk menghasilkan lagu buat Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Kalaulah dapat buat lagu untuk Datuk Siti, saya takkan tolak. Kak Rozi ada menulis komen di Instagram saya dan dia cakap, dia suka persembahan saya bila menyanyikan semula lagu Siti.

“Saya menjadi penyanyi kerana Siti Nurhaliza. Saya adalah peminatnya dan saya beli semua album serta hafal semua lagunya,” katanya.

Ditanya mengenai impian dan harapannya sebagai anak seni, Aina ingin melakukan lebih banyak lagi berbanding apa yang dikecapinya kini.

“Saya rasa tak cukup lagi. Saya nak menyentuh hati lebih ramai orang. Saya nak berusaha sehingga berada di satu tahap di mana, orang menantikan karya saya.

“Saya nak orang sendiri datang kepada saya untuk meminta saya hasilkan lagu. Lebih penting, saya nak menang anugerah seperti AJL,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 6:00am
d