utama

'Stress' sampai pandu kereta dalam lapangan terbang

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SUASANA di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus, hari ini bertukar kelam-kabut seketika susulan kehadiran sebuah kereta di dalam bangunan berkenaan.

Dalam kejadian 5.30 petang, kakitangan LTSM dan orang awam panik apabila melihat seorang wanita dengan selamba memandu ke dalam kawasan bangunan tingkat satu yang juga balai ketibaan.

Difahamkan, wanita berusia 55 tahun itu mengalami tekanan perasaan dan memandu sehingga masuk ke kawasan bangunan LTSM.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.36 petang sebelum empat anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Wanita itu yang juga anggota APM segera masuk ke dalam ambulans APM sebaik ternampak kenderaan jabatan.

“Selepas hampir satu jam, dia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 9:43pm
d