utama

Abai aura negatif

Oleh Norhayati Nordin

KEMATANGAN pada raut wajahnya cukup terserlah. Malah, apabila berbicara mengenai hala tuju kerjaya lakonannya, dia menyimpan banyak impian.

Namun, pada usia masih remaja iaitu 17 tahun semestinya pelajaran diutamakan. Apatah lagi, tahun ini dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi pelakon Bella Dowanna, dia sudah membuat perancangan mahu berehat seketika daripada bidang lakonan sekitar Mei depan.

Katanya, dia akur perlu mula memberi perhatian untuk pelajarannya. Ia berikutan penting supaya pelajaran dan kerjaya seni bergerak seiring.

Mula berlakon sejak kanak-kanak dengan membintangi iklan komersial di TV, Bella berkata, dia berpeluang mendapat tawaran berlakon drama dan telefilem pada 2009.

“Ketika itu saya ditawarkan membintangi telefilem Begitulah Sayang arahan Ahmad Idham serta berlakon dengan Zamarul Hisyam dan Norish Karman sebagai anak mereka.

“Bermula daripada situ, saya semakin dapat peluang berlakon sampai sekarang. Namun, ternyata bukan mudah buat saya mengorak langkah membina kerjaya seni sejauh ini.

“Walaupun masih boleh dianggap ‘baru nak berkayuh’, saya makin sedar bahawa setiap langkah diatur untuk membina nama dan bakat, tidak semua orang menyenanginya.

“Dugaan dan cabaran perlu saya lalui untuk terus bertahan agak hebat. Saya kena cekal berhadapan pelbagai tohmahan dan fitnah yang tidak betul pernah disebarkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pemilik nama sebenar Qystinna Istajibilla Dowanna Halim ini berkata, dia sedih apabila dirinya didakwa sebagai kaki bodek, suka main bomoh, tak tahu kenang budi dan kurang ajar.

“Saya menceburi karier seni kerana minat dan tak terfikir untuk dapatkan peluang berlakon dengan cara kotor. Sejujurnya, saya berusaha keras untuk mendapatkan peluang.

“Apapun, saya anggap semuanya dugaan yang perlu ditempuh. Bukan mudah untuk berjaya, jika diri tidak kental berhadapan setiap ujian yang datang,” katanya.

Bella berkata, dia menolak ke tepi segala tohmahan dilemparkan buat dirinya kerana yakin ketentuan segala rezeki diperoleh itu daripada Allah SWT.

“Biar nak cakap apa, saya tak mahu ambil peduli. Apa yang paling utama buat saya, keyakinan pihak produksi dan pengarah yang sedia mahu bekerjasama.

“Setakat ini, saya bersyukur dengan perjalanan kerjaya lakonan apabila tawaran masih diterima dan saya juga terbuka mencuba apa saja watak,” katanya.

Menurut Bella, sokongan diterima daripada ibu bapa dan keluarga banyak membantunya menjadi kuat untuk mengabaikan segala aura negatif.

Teringin berlakon dengan Randy Pangalila

Baru muncul dengan filem pertama lakonannya berjudul M4M4 arahan Eyra Rahman pada Februari lalu, Bella berkata, dia gembira dapat berlakon dengan Nabila Huda.

Mengakui Nabila adalah idolanya dalam lakonan, gadis yang menetap di Bukit Kiara, Kuala Lumpur ini memberitahu satu daripada impiannya sudah tercapali.

“Ikutkan saya, sebenarnya teringin nak berlakon di samping idola. Terus terang, saya ada ramai pelakon yang dijadikan idola diri sendiri.

“Selain Nabila, saya harap semoga ada peluang berlakon dengan aktor dari Indonesia iaitu Randy Pangalila yang sudah lama dikagumi,” katanya.

Mengulas mengenai Randy, kata Bella, dia mengikuti semua karya lakonan bintang ternama dari negara jiran itu sejak masih kanak-kanak.

“Saya sangat sukakan lakonan Randy. Malah, saya berasa cemburu melihat pelakon seperti Elfira Loy dan Nora Danish pernah berlakon dengannya.

“Saya juga inginkan peluang seperti itu. Mana tahu ada rezeki. Apapun, pada saya tidak salah jika menyimpan angan-angan untuk diri sendiri,” katanya.

Berbicara perkembangan kerjaya lakonannya, Bella berkata, dia akan muncul dengan drama Budak Tebing yang akan disiarkan TV3.

Sehubungan itu, antara drama lakonan Bella yang mendapat perhatian ialah Cemburu Seorang Perempuan di Astro dan Titian Takdir (TV3).

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 6:00am
d