utama

'Dah jumpa tiga kali'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

KEBANYAKAN peneroka sekitar Gugusan Felda Raja Alias di sini, mengakui sudah sedia maklum mengenai rancangan pembelian tanah ladang mereka sejak dua tahun lalu.

Izhar Yaacub, 63, dari Felda Raja Alias Dua berkata, dalam tempoh berkenaan sudah tiga kali perjumpaan diadakan antara Ketua Peneroka Gugusan Felda Raja Alias dan syarikat Mohhashi Space Gateway Sdn Bhd.

Katanya, peneroka memang tidak terkejut dengan isu itu disebabkan ia sudah diketahui lebih awal dan ketika itu menjadi bualan hangat dalam kalangan mereka.

“Isunya ketika ini apabila pihak syarikat yang mahu memajukan tanah ladang itu tidak memaklumkan dan membuat permohonan kepada kerajaan terlebih dahulu.

“Ia menjadi proses terbalik apabila bermula dari bawah ke atas, sepatutnya dari atas ke bawah sehingga menimbulkan kekecohan apabila disiarkan di media,” katanya.

Izhar berkata, sebagai peneroka dia bersetuju untuk menjual tanah berkenaan jika menepati syarat ditetapkan selain mengikut prosedur betul.

Katanya, jika pihak syarikat berminat untuk memajukan kawasan itu, mereka sepatutnya membuat permohonan kepada Felda dan kerajaan.

Peneroka Felda Raja Alias Empat, Md Isa Sarif, 67, berkata dia tiada masalah untuk menjual tanah ladangnya jika mengikut prosedur betul.

Katanya, dia tidak terkejut dengan berita itu disebabkan sudah mengetahui sejak dua tahun lalu.

“Jika ikutkan apa yang disiarkan di media semalam, pihak syarikat masih dalam perancangan menjalankan kaji selidik dan belum lagi membeli tanah ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Peneroka Wilayah Raja Alias, Nasir Abd Rahman berkata, pihak syarikat perlu membuat permohonan kepada kerajaan sekiranya mahu mengusahakan tanah Felda sebagai projek berimpak tinggi.

Katanya, banyak prosedur perlu dipatuhi sebelum menjalankan projek.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 6:35am
d