utama

KPDNHEP tambah baik dasar kerajaan terdahulu

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan dasar dan strategi sedia ada yang baik oleh kerajaan terdahulu dan menambah baik aspek yang perlu.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi yang memulakan tugas semalam berkata, sememangnya masih ada ruang dan peluang untuk penambahbaikan kepada strategi atau dasar yang boleh mensejahterakan rakyat memandangkan keutamaan kementerian adalah rakyat.

“Jadi kita sepatutnya buat dasar yang boleh membantu meringankan beban rakyat dan juga mereka yang terbabit dalam perdagangan dalam negeri,” katanya.

Terdahulu, Nanta dan timbalannya Datuk Rosol Wahid menerima sambutan rasmi daripada warga KPDNHEP dan mengetip kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu.

Berhubung kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin setiap kementerian dan jabatan akan mengemukakan cadangan yang akan menjadi keutamaan memandangkan kerajaan tiada manifesto, Nanta memberitahu pihaknya akan melakukan yang terbaik sama ada dengan manifesto atau tanpa manifesto.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 6:40am
d