utama

Kekal senarai Top 10

Oleh Georgie Joseph

BIAR silih berganti penyanyi baharu yang hadir, mereka tidak mampu menggugat mahupun menepis legasi dicipta Lady Gaga. Seperkara yang pasti adalah namanya makin kukuh dan megah meskipun cuba disaingi ratusan bakat baharu lain.

Tiada apa lagi yang perlu dibuktikan penyanyi serta komposer hebat berusia 33 tahun itu dalam bidang hiburan global. Dia berjaya menyapu semua aspek daripada fesyen, identiti unik, karya berkualiti, mahupun keperibadian terpujinya.

Tidak keterlaluan sekiranya melabel Gaga antara legenda hidup paling ikonik. Pencapaiannya terlalu mega dan berjaya meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri tanpa membandingkannya dengan penyanyi lain.

Kembali dengan single terbaharu berjudul Stupid Love, namanya terus mendaki ke posisi tertinggi dalam carta besar dunia. Meski berbalik kepada muzik tari-pop elektronik seperti kemunculannya pada awal dulu, karyanya tetap diterima dengan luar biasa.

Pencapaian lagu itu sekali gus meletakkan Gaga sebaris beberapa nama paling berjaya sepanjang memasuki abad ke-20. Ia adalah lagu ke-16 yang menduduki tangga 10 teratas dalam carta berprestij, Billboard Hot 100.

Tentu sekali ia kejayaan yang sungguh istimewa buatnya walaupun Stupid Love satu-satunya lagu berjaya menduduki carta itu pada dekad ini di abad ke-20. Lantas, dia kini menyertai senarai ahli muzik paling sukses dalam sejarah.

Menurut Billboard, Gaga adalah penyanyi kelima yang tidak putus memasuki kedudukan Top 10 carta itu dalam tempoh 2000 hingga 2020. Biarpun baru memasuki tahun ke-20, namun tidak semua penyanyi bernama besar berjaya mencapai rekod terbabit.

Pemenang Grammy dan Oscar terbabit menyertai Drake, Eminem, Mariah Carey dan Maroon 5 yang masing-masing berjaya meletakkan paling kurang satu lagu dalam Top 10 Hot 100 sepanjang tiga dekad ini.

Kali pertama Gaga bolos dalam carta terbabit adalah pada 2008 menerusi lagu Just Dance. Kemudian mendaki naik ke tangga pertama pada awal 2009 sekali gus meledakkan namanya. Sejak itu, ada saja lagunya berjaya mengulangi pencapaian sama saban tahun.

Sepanjang 10 tahun pertama, lima lagunya berjaya berada dalam Top 10 selain cukup hit di Amerika Syarikat (AS). Untuk dekad ini, tidak mustahil dia akan terus megah di kemuncak dengan lagu akan datang pula.

Dengan pelancaran album baharunya diberi judul Chromatice kurang sebulan dari sekarang, dia berpotensi besar kembali mengungguli kedudukan teratas carta. Apapun, terlalu awal untuk memberi justifikasi itu lantaran lagu Stupid Love masih tetap jadi fokus.

Buku berkisar kebaikan dan komuniti

Bukan saja melancarkan album baharu, Gaga juga mengumumkan butiran mengenai buku terbitannya berjudul Channel KindChannel Kindness: Stories of Kindness and Community. Buku terbabit adalah sebahagian daripada projek untuk Born This Way Foundation miliknya.

Pertubuhan berkenaan mengambil nama daripada lagunya Born This Way yang dimuatkan dalam album yang diterbitkan pada 2011. Misi pertubuhan itu adalah memperkasa golongan muda-mudi selain memberi kesedaran mengenai kesihatan mental.

Gaga tidak dinafikan sangat teguh memperjuangkan beberapa aspek termasuk feminin sebagai intipati pertubuhan itu. Selari dengan misinya, buku terbaharu terbabit akan membincangkan pelbagai nilai murni dalam komuniti tertentu.

Menurut ibunya, Cynthia Germanotta yang juga pemilik bersama pertubuhan terbabit, buku yang mengandungi 304 muka surat itu memuatkan lebih 50 cerita dan esei. Semua bahan berkenaan disumbangkan aktivis pelbagai komuniti dan penulis muda.

“Saya dan anak sangat bangga dengan setiap penulis muda yang menghidupkan buku ini dengan sumbangan cerita mereka. Kami mahu tunjukkan kepada dunia bahawa kita tahu memang benar transformasi sebuah kebaikan akan berterusan sampai bila-bila,” katanya.

Dijadualkan pelancarannya pada September depan, Germanotta tidak menafikan buku itu ada perkaitannya dengan album akan datang Gaga.

“Dalam buku itu, banyak diceritakan setiap butiran yang menghubungkan cerita itu dengan tema cinta dan kebaikan dalam album baharunya,” katanya.

Tidak hairan tema itu juga yang disuntik dalam jalan cerita muzik video Stupid Love di mana cerita asalnya adalah sumbangan daripada dua aktivis iaitu Juan Acosta dan Taylor M Parker.

Dalam muzik video itu, landskap dystopia digunakan sebagai latar belakang yang mana menampilkan fesyen kelas tinggi, memilih keamanan serta kebaikan menerusi corak tarian dipersembahkan.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 6:00am
d