utama

Eropah 'hab' Covid-19

Oleh Agensi

Geneva: Eropah kini menjadi pusat penularan wabak Covid-19, kata Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, lapor agensi berita Anadolu.

“Eropah kini mempunyai lebih banyak kes Covid-19 dilapor setiap hari berbanding di China,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Lebih 132,500 kes dilaporkan di 132 negara dan wilayah dengan lebih 5,000 kematian.

Beliau berkata penyakit itu boleh berlaku di mana-mana negara dan ia adalah ‘musuh biasa.’

Semua negara perlu ‘mengesan, melindungi dan merawat’ untuk memusnahkan rantai penularan, katanya.

Sementara itu, jumlah kematian di Itali akibat Covid-19 bertambah 250 orang dalam tempoh 24 jam, rekod tertinggi berbanding mana-mana negara setakat ini.

Ketua Agensi Perlindungan Awamnya berkata, peningkatan 25 peratus sehari itu menjadikan jumlah kematian dicatatkan negara berkenaan cecah 1,266 orang.

Malah, kes jangkitan meningkat kepada 17,660 kes berbanding 15,113 kes pada hari sebelumnya.

Kerajaan Itali minggu ini melaksanakan langkah drastik menutup bar, restoran dan kebanyakan kedai, selain menyekat perjalanan yang tidak penting dalam usaha menangani penularan wabak.

Wilayah Lombardy yang paling teruk terjejas juga menyaksikan penutupan sepenuhnya kilang dan pejabat.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 6:30am
d