utama

'Pelakon' tak sudi

Oleh Muhammad Saufi Hassan dan Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque

MEREKA yang gemar merakamkan aksi tidak senonoh dan intim dalam telefon bimbit berdepan saat menakutkan apabila rakaman itu dikatakan dijual dengan harga yang lumayan kepada penggemar video lucah.

Paling memalukan apabila penggemar video itu menaikkan rakaman video dan aksi tidak senonoh dalam platform media sosial yang terkenal dengan perkongsian bahan lucah.

Keadaan itu berpunca daripada tindakan pihak tertentu yang mampu mengesan semula fail atau rakaman terbabit melalui proses pemulihan data peranti.

Detik hitam itu dirasai gadis berusia 27 tahun yang mahu dikenali sebagai Anna mengakui pernah menyimpan beberapa klip video hubungan dengan teman lelakinya serta gambar peribadi miliknya namun semua fail itu sudah dipadamkan apabila dia mahu menjual telefon pintar pertengahan tahun lalu.

Menurutnya, semua gambar serta klip video itu sudah dipadam, malah turut melakukan proses penghapusan menyeluruh (format) dan menyangka semua fail berkenaan tidak mungkin diperoleh semula.

Anna adalah seorang mangsa pemulihan data digital daripada pihak tidak bertanggungjawab apabila keseluruhan fail berkenaan boleh dijejaki semula menerusi proses forensik digital ataupun menggunakan perisian berbayar yang dijual secara terbuka serta boleh dimuat turun di Internet.

Proses pemulihan data ini adalah kaedah untuk mengembalikan fail penting yang sudah terpadam dan ia disalah guna oleh pihak tertentu untuk keseronokan mahupun ugutan kepada pihak lain.

Bagaimanapun, sangkaan gadis terbabit meleset apabila beberapa klip video serta gambarnya mula dimuat naik menerusi sebuah platform media sosial yang terkenal dengan perkongsian bahan lucah.

“Saya menyedari video serta gambar dimuat naik di dalam platform laman sosial berkenaan selepas seorang rakan menghantar beberapa keping tangkap layar kepada saya.

“Pada mulanya rakan saya itu tidak mengetahui bahawa gadis di dalam video berkenaan adalah dirinya kerana dia hanya menyatakan bahawa wajah pelaku terbabit sangat mirip dengannya.

“Namun, menerusi beberapa klip lain, rakan saya itu mengetahui menerusi pengecaman jam, gelang dan rantai yang dipakai adalah sama dengan saya. Ketika itu, memang saya malu memandangkan rakan itu bekerja di tempat sama dan saya memujuknya untuk tidak menyebarkan kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Anna mengakui, dia terus membuka akaun platform laman sosial berkenaan dan menghantar mesej peribadi kepada pemilik akaun yang memuat naik gambar serta video berkenaan untuk memadamkan atas dasar ihsan.

“Saya menghantar pesanan peribadi dan dalam pesanan itu saya bertanyakan daripada mana pemilik akaun itu menjumpai klip serta gambar terbabit.

“Pemilik berkenaan hanya menyatakan bahawa dia membeli klip video lucah daripada orang lain bernilai RM200 yang mengandungi ribuan video serta gambar. Selepas itu saya hanya memohon kepadanya untuk memadamkan video dan gambar terbabit kerana menyatakan saya adalah mangsa dan mujur dia akur serta memadamkan keseluruhan fail terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 8:38am
d