utama

Serpihan kenangan paling perit

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

“TIDAK mungkin saya mampu lupakan peristiwa berdarah itu kerana serpihan peluru masih tertanam dalam tubuh sehingga kini,” luah Rahimi Ahmad, 40.

Bapa dua anak itu antara tiga rakyat Malaysia yang cedera ditembak pengganas dalam serangan di Masjid An-Noor di Christchurch, New Zealand, 15 Mac tahun lalu.

Selepas setahun lelaki berasal dari Pulau Pinang itu belum pulih sepenuhnya dan menggunakan alat sokongan untuk bergerak kerana kaki kanannya lemah serta diberikan cuti sakit sehingga kini.

“Saya bersyukur masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa walaupun menggunakan alat bantuan untuk bergerak kerana saraf terjejas akibat tembakan dilepaskan suspek terkena pinggang.

“Mujur isteri sentiasa menemani ketika saat sukar ini menjadikan saya lebih kuat meneruskan kehidupan walaupun pernah melalui detik antara hidup dan mati,” katanya yang enam tahun menetap di Christchurch.

Rahimi bersama keluarga berhijrah ke New Zealand selepas isterinya Dr Nor Azila Abd Wahid, 40, melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah.

Katanya, dia masih menjalani rawatan fisioterapi dan saraf di hospital dengan bantuan penuh kerajaan New Zealand.

“Beberapa bulan lagi saya menjalani pembedahan membetulkan saraf supaya pergerakan saya lebih baik berikutan serpihan peluru mencederakan saraf utama.

“Doktor memaklumkan saya perlu lima hingga enam tahun pemantauan bagi memastikan serpihan peluru tidak menjejaskan otot dan tisu lain,” katanya.

Katanya, beliau berharap kaki serta sarafnya pulih segera supaya kehidupan dan pekerjaannya dapat dilakukan seperti biasa selain memberi peluang kepada isteri mencari pekerjaan.

Untuk rekod, serangan di Masjid An-Noor dan Masjid Linwood pada 15 Mac tahun lalu mengorbankan 51 nyawa manakala lebih 40 cedera.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 7:01am
d