utama

Pil bunuh janin COD

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik

LICIK berselindung di sebalik salun rambut dan kedai pakaian. Itu modus operandi dilakukan beberapa individu yang dikesan aktif menjual pil gugur janin sekitar ibu kota.

Suspek dikesan menyediakan khidmat penghantaran segera kepada pelanggan yang mahukan produk tidak berdaftar Misoprostol untuk tujuan pengguguran janin segera.

Malah dalam risikan dilakukan, sindiket menggunakan beg sekolah kanan-kanak untuk menyembunyikan pil itu, sekali gus mengaburi pihak berkuasa.

Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKLP), Dr Param Jeeth Singh berkata, kegiatan penjualan pil gugur janin itu dibongkar susulan operasi khas dilakukan 20 pegawai farmasi dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi JKWPKLP yang melakukan risikan terhadap kegiatan itu.

Beliau berkata, pihaknya mengambil tindakan terhadap dua penjual yang menjalankan penjualan pil Misoprostol secara dalam talian di media sosial.

“Seorang suspek ditahan menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pembeli secara cash on delivery (COD).

“Selain itu, serbuan juga dijalankan terhadap dua premis di pusat beli-belah terkemuka menjalankan perniagaan menjual beg dan pakaian serta salun rambut.

“Siasatan mendapati penjualan pil Misoprostol dilakukan secara tertutup kepada warganegara asing,” katanya.

Menurutnya, serbuan dilakukan terhadap kediaman pemilik perniagaan itu yang dijadikan tempat simpanan produk mengandungi racun Misoprostol.

“Keseluruhan produk mengandungi Misoprostol dirampas membabitkan 1,430 biji yang dijual dengan pada harga RM 175 sebiji.

“Turut dirampas dalam operasi itu produk tidak berdaftar lain seperti ubat antibiotik, antifungal, ubat tahan sakit dan makanan kesihatan. Jumlah semua rampasan dianggarkan bernilai RM 253,520,” katanya.

Menurutnya, Misoprostol yang pernah berdaftar dengan KKM sebelum ini digunakan merawat ulser perut atau gastrik adalah ubat terkawal mengikut Akta Racun 1952 dan penggunaannya memerlukan pemantauan daripada pengamal perubatan berdaftar.

“Namun pemegang pendaftaran produk itu dibatalkan pendaftarannya pada November 2016 kerana Misoprostol sering disalah guna untuk tujuan pengguguran janin.

“Antara kesan sampingan Misoprostol seperti kekejangan, cirit birit, loya, muntah, sakit perut, ruam, pening kepala, pendarahan tidak normal dan peningkatan pengecutan otot rahim.

Selain itu, wanita mengandung tidak dibenarkan mengambil ubat ini tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar kerana ia boleh menyebabkan keguguran, bayi cacat jika kandungan gagal digugurkan, jangkitan kuman serta boleh membawa maut jika tidak dirawat.

“Penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau berkata, KKM menasihati orang ramai supaya berwaspada semasa membeli produk kesihatan yang dijual secara dalam talian terutama di media sosial seperti facebook, instagram dan lain-lain platform e-dagang supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan dan maklumat yang disiarkan.

“Selain itu, KKM juga memberi peringatan supaya orang ramai dapat memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran adalah berdaftar dengan KKM serta mematuhi undang-undang dikuatkuasakan.

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara dalam talian, tidak mudah terpedaya dengan iklan dan maklumat yang disiarkan,” katanya.

Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari http://www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk itu.

“Sebarang aduan berkaitan produk kesihatan dan iklan yang meragukan boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-7841 3200 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 7:10am
d