utama

Covid-19: Semua aktiviti di masjid, surau ditangguhkan

Oleh Suraya Roslan

SEMUA aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan berjemaah ditangguhkan bermula esok sehingga 26 Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau itu selepas mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Berdasarkan taklimat yang disampaikan Kementerian Kesihatan Malaysia dan perbincangan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang pada 15 Mac 2020 di Hotel Pulse Grande, Putrajaya, mesyuarat telah mengambil ketetapan beberapa perkara.

“Selain semua aktiviti keagamaan ditangguhkan, jawatankuasa masjid dan surau disarankan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan.

“Tempoh 10 hari adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zulkifli berkata, sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-107 yang bersidang pada 10-11 Februari 2015 mengenai hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia.

“Kelonggaran diberikan sekiranya ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah.

“Jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut,” katanya.

Menurutnya, bagi pelaksanaan perihal aktiviti keagamaan dan pengurusan jenazah, Muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri.

"Dengan titah perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, pelaksanaan aktiviti keagamaan dan pengurusan jenazah adalah terpakai di Wilayah-Wilayah Persekutuan," katanya.

Bagaimanapun, penangguhan ini khusus untuk Wilayah Persekutuan dan negeri beraja sahaja. Bagi negeri tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, mereka perlu menunggu kenyataan daripada Mufti Negeri masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 5:57pm
    d