utama

Tiba-tiba mesej arwah terhenti...

Oleh Nor Farhani Che Ad

“KAMI berbalas mesej melalui kumpulan WhatsApp keluarga, semalam tetapi saya hairan apabila mesejnya terhenti pada 9.45 malam, rupanya arwah terbabit dalam insiden berkenaan,” kata Fadzil Hassan, 55.

Dia adalah bapa Fadhi Akmal, 29, salah seorang daripada lima mangsa yang maut dalam insiden kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, malam tadi.

Fadzil berkata, berikutan bimbang dengan keadaan anak kedua daripada tujuh beradik itu, dia cuba beberapa kali menghubungi arwah yang bekerja sebagai juruteknik di kompleks berkenaan pada 8.30 pagi tadi, namun gagal kerana talian ditutup.

“Malam tadi arwah ada tanya khabar kami sekeluarga melalui WhatsApp, arwah ada bergurau dengan adik-beradiknya sebelum mesej terhenti begitu sahaja.

“Saya menyangka arwah sedang sibuk, lagi pun selalunya arwah akan menghubungi saya setiap pagi, namun pagi tadi arwah tidak berbuat demikian.

“Saya cuba menelefonnya beberapa kali, namun telefonnya seperti dimatikan,” katanya ketika dihubungi di Sungai Petani, hari ini.

Fadzil berkata, dia menerima perkhabaran berhubung kejadian menimpa anaknya daripada pihak pengurusan tempat arwah bekerja kira-kira 10 pagi tadi.

Menurutnya, meskipun terkejut dan sedih, namun dia sekeluarga reda dengan apa yang sudah tertulis buat anaknya itu.

Katanya, dia sedikit terkilan apabila hasrat arwah membawanya serta isteri, Muhizah Mustafa, 54, melihat rumah yang baru dibelinya di Kota Tinggi selepas Hari Raya Aidilfitri ini tidak kesampaian.

“Kali terakhir arwah pulang ke kampung pada minggu lalu, dan dia kata raya (Aidilfitri) ni tak dapat cuti, tapi lepas raya dia nak bawa saya dan isteri tengok rumah barunya yang baru dibeli.

“Dia kata rumah berkenaan sedang diubah suai dan dijangka siap selepas Hari Raya Puasa, nanti siap dia kata nak bawa kami, tapi apakan daya hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berapit, Tikam Batu, Sungai Petani, esok.

Berita berkaitan

MB ucap takziah

Cermin tingkap rumah bergegar

Pesanan terakhir abang

Sultan Johor ucap takziah

Seorang lagi mangsa letupan Pengerang ditemui rentung

Identiti 4 mangsa rentung dikenal pasti

Letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang: 4 rentung, 1 parah

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 7:13pm
d