utama

Cabar diri tulis lirik

Oleh Norhayati Nordin

WALAUPUN pernah mendapat bimbingan penyanyi Amy Search dalam program Mentor Legend pada 2015, ia tidak banyak membantu penyanyi Sarah Fazny mencipta nama.

Namun, enggan mengalah dengan nasib diri, Sarah mencuba pula pertandingan Duo Star dan kemudian ke D’Academy Asia musim keempat (DAA4) di Jakarta, Indonesia pada 2018.

Ternyata, laluan Sarah untuk memahat nama dan bakat sebagai penyanyi dikenali agak berliku apabila setiap langkah diatur seakan kurang menjadi.

Tiada istilah putus asa dalam kamus hidup, Sarah menyuntik keyakinan dalam diri dan menjadikan tahun ini sandaran baharu untuk dia memantapkan kerjaya nyanyian.

Bernaung di bawah Broadway NuMusic, Sarah atau nama sebenar Maishara Fazny Mahadzir teruja muncul dengan lagu berjudul Mantankan Saja yang bergenre pop dangdut ciptaan komposer Faishal Rizal.

Peluang bekerjasama dengan Faishal yang berasal dari Indonesia turut memberi pengalaman baru buat Sarah apabila mendapat kepercayaan menulis lirik untuk lagu itu.

Mengulasnya, Sarah berkata, dia mencabar diri menulis lirik lagu sendiri buat pertama kali. Ujarnya, walaupun berasa janggal, dia harus mencuba.

“Alhamdulillah, berkat kesungguhan saya berusaha dapat juga menghasilkan lirik lagu Mantankan Saja dengan bantuan Faishal yang tak lokek ilmu.

“Malah, lagu ini juga menjadi percubaan saya menyanyikan lagu pop dangdut yang diharapkan boleh diterima baik oleh peminat muzik tanah air,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai lagu baru itu, Sarah berkata, ia mengisahkan percintaan yang gagal dan ada sedikit kena mengena dengan memori lalu.

“Apapun, saya sukakan lagu ini kerana melodinya sesuai dengan vokal. Malah, lirik ditulis pula ‘catchy’ dan yakin mampu diterima baik pendengar.

“Namun, saya tetap sedar kejayaan sesuatu lagu masih bergantung pada rezeki. Doa saya, semoga lagu Mantankan Saja akan berjaya membantu melonjakkan bakat nyanyian ini,” katanya.

Mengulas soal populariti, Sarah yang aktif menyanyi sejak berusia 16 tahun berkata, dia tahu kekurangan utamanya adalah pada perkara itu.

“Saya agak jauh daripada populariti. Kalau diukur, memang jauh ketinggalan. Apatah lagi, saya pula sejak dari dulu lebih memilih utamakan kualiti.

“Terus terang, saya memilih untuk tidak naik dengan mudah melalui perkara merepek yang dibuat di media sosial. Bagi saya, biar bakat yang dinilai,” katanya.

Menurut Sarah lagi, dia lebih selesa melihat perkembangan penyanyi lama yang masih kekal relevan dalam industri hingga sekarang dengan bersandar bakat.

“Tak ada pula saya pernah tengok penyanyi lama membuat video tular untuk meraih populariti. Boleh saja mereka dikenali dengan bakat seni dimiliki.

“Itulah yang ingin saya lakukan dan tidak kisah perlu membina nama secara perlahan. Pada saya, tak apalah lambat asalkan tidak membuat perkara merapu,” katanya.

Anak jati Kuala Lumpur ini berkata, dia enggan dikenali dengan cerita sensasi melalui video tular yang dilihatnya sebagai publisiti murah.

Instagram digodam empat kali

Tidak tahu di mana silapnya, Sarah memaklumkan dia menjadi mangsa akaun media sosial digodam pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mengambil kesempatan.

“Bukan sekali dua Instagram saya pernah digodam tetapi empat kali. Ia membuatkan saya sedih dan serik untuk aktif di platform media sosial.

“Apatah lagi, pihak tidak bertanggungjawab itu turut menghubungi saya meminta membuat bayaran sekiranya masih inginkan akaun berkenaan.

“Jumlah diminta pula bukan sedikit. Jadi, saya nekad tidak membayarnya termasuk berehat terus dalam tempoh yang panjang di media sosial,” katanya.

Sarah berkata, tetap menyedari platform media sosial kini penting buat golongan penyanyi sepertinya, dia kembali membuat akaun baru untuk peminat.

Menurut wanita genit ini, apa yang sudah berlaku biarkanlah. Tetapi, jika akaun IG masih digodam lagi, dia hanya berserah dan melihat ke arah positif.

“Saya kembali dengan akaun baru yang kini mempunyai lebih 12,000 pengikut bagi berkongsi perkembangan kerjaya nyanyian dan mempromosi lagu Mantankan Saja.

“Apa yang dilakukan hanya untuk kerjaya kerana saya mahu dikenali sebagai penyanyi berjaya suatu hari nanti. Namun, sekarang saya harus berusaha lagi,” katanya.

Berbicara juga mengenai peribadi, Sarah berkata, dia masih solo dan belum terfikir untuk bercinta. Katanya, memantapkan kerjaya lebih utama.

“Perjalanan saya dalam kerjaya seni masih jauh. Ditambah lagi, pada usia sekarang, agak masih awal untuk saya bercinta,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 6:00am
d