utama

Brazil halau individu bersantai

Oleh AFP

RIO DE JANEIRO: Pihak berkuasa Brazil menggunakan pembesar suara bagi ‘menghalau’ individu yang cuba bersantai di kawasan pantai utamanya.

Selain itu, kerajaan menutup dua tarikan pelancongan utamanya iaitu patung ‘Christ the Redeemer’ dan kereta kabel ke puncak Gunung Sugarloaf.

Arahan turut membabitkan penutupan sekolah, pawagam, teater dan larangan penganjuran acara keraian dalam skala besar, untuk tempoh dua minggu.

Ia sebahagian daripada langkah untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di negara berkenaan.

Gabenor Rio, Wilson Witzel sebelum ini memberi amaran supaya penduduk tidak berada di kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong.

Bagaimanapun, beliau mengakui sukar untuk memastikan orang tidak berada di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, kami bersedia untuk mengerahkan anggota pasukan keselamatan bagi tujuan itu,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati langkah itu sudah dilaksanakan di pantai popular seperti Copacabana dan Ipanema.

Trak pasukan keselamatan dilihat tiba dan menggunakan pembesar suara sebelum mengarahkan pengunjung supaya tidak berada di dalam kawasan pantai.

“Untuk keselamatan jiran, rakan dan ahli keluarga, tolong pulang ke rumah.

“Mainkan peranan anda untuk mengekang koronavirus,” katanya.

Terdapat 31 kes Covid-19 di Rio, dengan jumlah keseluruhan 234 kes di Brazil.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 7:01am
    d