utama

NFDP 'sengkek' sangat ke?

Oleh Firdaus Hashim

APA dah jadi dengan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) khususnya pasukan bawah 16 (B-16) Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang dilihat memakai jersi lama empat tahun lalu dalam satu perlawanan pada Ahad lalu.

Malah, lebih menyedihkan apabila logo NFDP pada jersi berkenaan turut tercabut hingga mencetuskan persoalan di manakah perginya bajet besar RM45 juta yang diperuntukkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini?

NFDP yang ditubuhkan pada 2014 untuk melahirkan pemain bola sepak berkelas dunia sering ditatang bagai minyak penuh apabila sering mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan penaja luar.

Malah, pembinaan pusat latihan elit iaitu AMD di Gambang, Pahang, dengan kos keseluruhan berjumlah RM83 juta itu adalah salah satu ‘projek mega’ yang menjadi agenda utama negara ini.

Tidak hairanlah mengapa saban tahun NFDP diperuntukkan dengan bajet besar termasuk kelengkapan asas seperti jersi dan pakaian rasmi yang amat dititikberatkan oleh pengurusan program itu sebelum ini.

Bagaimanapun, gambar pasukan B-16 AMD yang beraksi dalam saingan Piala Belia menentang Terengganu IV pada Ahad lalu mencetuskan tanda tanya mengenai kantung NFDP ketika ini.

Pemain AMD dilihat masih memakai jersi lama yang pernah digunakan oleh skuad terdahulu termasuk penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang sudah meninggalkan program berkenaan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menzahirkan idea penubuhan NFDP turut melahirkan kekecewaan dan mengakui sanggup menghulurkan bantuan sekiranya NFDP sedang berdepan masalah kewangan.

“Kenapa Team AMD pakai jersi lama, logo pun dah tercabut? Susah sangat mai jumpa saya,” kata Khairy yang memberi komen di Instagram rasmi NFDP.

Begitupun, komen Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu sudah dipadamkan oleh admin Instagram berkenaan.

Ketika ini, NFDP diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan Saad Ichalelene dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP bagi menggantikan Lim Teong Kim yang tidak disambung kontraknya pada Oktober lalu.

Selain Saad, pihak NFDP turut melantik Dennis Bekking selaku Pengarah AMD, Abdifitaah Mohamed Hassan sebagai Ketua Pencarian Bakat dan Methodologi Kejurulatihan serta Aminuddin Hussain selaku Ketua Pembangunan Remaja.

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 7:00am
d