utama

Tiada korban baharu Covid-19 - Noor Hisham

Oleh Suraya Roslan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kematian baharu akibat Covid-19 sekaligus menafikan dakwaan berkenaan seperti tular di media sosial.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa pakar perubatan di sebuah hospital di Ipoh dan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling sudah meninggal dunia akibat Covid-19.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua pesakit kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

“Seorang pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah seorang pakar perubatan kecemasan daripada sebuah hospital KKM di Perak.

“Beliau adalah staf kesihatan KKM kedua yang memerlukan bantuan pernafasan di ICU manakala seorang lagi pesakit berusia 63 tahun adalah peserta perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling dan kedua-dua pesakit kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, terdapat 45 kes Covid-19 di Perak termasuk dua pesakit berkenaan yang dirawat di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Petugas kesihatan KKM seluruh negara sedang berusaha sebaik mungkin dalam memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 serta mengesan kes baharu.

“Marilah kita bersama-sama berdoa supaya petugas kesihatan dilindungi daripada sebarang malapetaka dan diberikan kesihatan serta kekuatan menghadapi krisis ini,” katanya.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan tiga kematian dengan yang terbaru membabitkan jemaah tabligh dari Tawau, Sabah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 12:18pm
    d