utama

Jemaah tabligh korban keempat Covid-19 [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEORANG lagi pesakit koronavirus baharu (Covid-19) disahkan meninggal dunia dengan 153 kes positif baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,183 kes di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa terbaru meninggal dunia membabitkan lelaki berusia 50 tahun yang menerima rawatan di Hospital Melaka.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia jam 1.30 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

"Pesakit kes ke-238 itu adalah daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. Mangsa dimasukkan ke hospital pada 12 Mac dengan gejala Severe Acute Respiratory Infection.

"Mangsa diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi dan ketika dalam penjagaan di ICU. Kesihatannya merosot dan disahkan meninggal dunia awal pagi tadi," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 90 daripada keseluruhan kes baharu hari ini adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh.

Malah, katanya, 19 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta disahkan dijangkiti Covid-19.

"Dua daripadanya kini dirawat di ICU. Punca jangkitan bagi kesemua anggota kesihatan itu bukan disebabkan oleh ketidakpatuhan mereka semasa mengendalikan kes di peringkat fasiliti masing-masing.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati mereka adalah kontak rapat generasi pertama dan kedua membabitkan kluster jemaah tabligh," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 3:57pm
    d