utama

'Saya dikecam atas kesalahan orang lain'

Oleh Redzuan Muharam

“DISEBABKAN tindakan individu terbabit, saya dikecam dan dipersalahkan hingga ada yang mendoakan saya sekeluarga dijangkiti Covid-19 kerana tidak tahu perkara sebenar,” kata Nurtasha Amira Abdullah Nizam, 27.

Nurtasha meluahkan kekecewaan itu kerana menjadi mangsa penipuan individu yang mewujudkan akaun Facebook (FB) palsu menggunakan gambarnya untuk menyamar sebagai peniaga penutup mulut dan hidung.

Menurut Nurtasha, tindakan individu berkenaan memberi impak buruk terhadapnya apabila ramai pelanggan ditipu menghantar kiriman mesej kepadanya meminta penjelasan kerana tidak menerima barangan dipesan selepas membuat bayaran mencecah ratusan ringgit.

“Saya tidak tahu mengenai kegiatan individu terbabit sehingga 16 Mac lalu apabila seorang mangsa menghantar mesej kepada saya di FB untuk bertanya adakah benar saya mempunyai dua akaun berasingan.

“Saya sangkakan individu itu sekadar mewujudkan akaun palsu tetapi terkejut apabila menerima lagi kiriman mesej daripada mangsa lain yang mahu mendapatkan kepastian mengenai akaun bank digunakan untuk urus niaga kerana namanya hampir sama.

“Daripada situ, timbul rasa curiga kerana hampir setiap hari ada mangsa menghantar kiriman mesej di FB untuk bertanya mengenai status penghantaran selain marah serta menuduh saya cuba mempermainkan mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nurtasha berkata, dia cuba berhubung dengan ‘peniaga’ terbabit menerusi FB tetapi tidak berjaya kerana akaunnya dan adik-beradik lain sudah disekat lebih awal.

Demi mendapatkan keadilan, Nurtasha membuat laporan di Balai Polis Kampung Tawas, Perak tiga hari kemudian iaitu pada 19 Mac lalu kerana enggan terus menjadi mangsa fitnah gara-gara tindakan individu tidak bertanggungjawab.

“Jujurnya, saya memang tertekan hingga menangis selepas dikecam atas kesalahan orang lain terutama apabila membaca komen negatif daripada warganet di satu ruangan peniaga ‘scammer’.

“Namun, saya cuba bersihkan nama dengan berkongsi kisah sebenar bersama lampiran laporan polis di FB selain menghantar mesej kepada individu tertentu yang menuduh saya kerana salah sangka.

“Saya perlu menegakkan kebenaran kerana mencari rezeki dengan berniaga secara dalam talian sejak tiga tahun lalu dan tidak mahu perniagaan terjejas disebabkan tindakan individu terbabit yang dengan mudahnya mengaut keuntungan,” katanya.

Nurtasha berharap, orang ramai berhati-hati sebelum membuat pembayaran supaya tidak menjadi mangsa penipuan kerana ramai cuba mengambil kesempatan atas kesempitan individu lain.

“Memang sedih kerana dalam keadaan sekarang, masih ada yang tergamak menipu demi mengaut keuntungan.

“Sedangkan, inilah masa membantu mereka yang memerlukan dan diharap perkongsian saya dapat membuka mata orang ramai untuk peka dengan kewujudan sindiket ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 9:00pm
d