utama

Mangsa tertimbus dipercayai pemburu emas [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Nor Farhani Che Ad

DUA lelaki yang tertimbus akibat tanah runtuh di kaki Gunung Jerai petang tadi, dipercayai sedang melakukan kegiatan mencari emas di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata dua mangsa dikenali sebagai Md Noor Shaari, 68, dan Roslan Saidin, 52, dikatakan melakukan kegiatan mencari emas di kawasan berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun mereka menghentikan kerja penggalian pada 19 Mac lalu, namun datang kembali ke lokasi kejadian pagi tadi, bagi meneruskan kegiatan berkenaan.

"Mangsa dikatakan mempercayai terdapat emas bernilai berbilion ringgit di kawasan Gunung Jerai dan yakin semakin hampir menemui harta karun berkenaan.

"Disebabkan itu, dua mangsa meneruskan kerja menggali dan salah seorang mereka sempat menghubungi rakan di luar memintanya menghantarkan bekalan air.

"Bagaimanapun, rakan mangsa yang tiba kira-kira jam 4 petang gagal menemui dua mangsa sebelum mendapati terdapat kesan runtuhan di kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam ini.

Pihak polis turut menemui kereta mangsa diletak berhampiran kawasan kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya masih menunggu bantuan jentera pengorek bagi mempercepatkan operasi.

"Operasi mencari dimulakan pada jam 6.30 petang tadi secara manual, namun sehingga tengah malam ini, kita masih belum menemui kedudukan kedua-dua mangsa.

"Anggota bomba berhadapan kesukaran kerana kedalaman kawasan runtuhan lebih 12 meter dan mangsa dianggarkan tertimbus pada kedudukan antara 1.5 hingga tiga meter," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, seramai 38 anggota bomba termasuk sembilan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), polis dan pegawai Jabatan Perhutanan Negeri terbabit dalam operasi.

"Operasi mencari ditangguhkan sementara pada jam 12 tengah malam ini berikutan keadaan kawasan yang berbahaya dan tidak stabil.

"Kita menjangkakan operasi akan disambung menggunakan jentera pengorek pada jam 8 pagi ini," katanya.

  • 2 tertimbus tanah runtuh Gunung Jerai
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 1:01am
    d