utama

Covid-19: Kes kematian kini 16 orang

Oleh HM Digital

PUSAT Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan satu lagi pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19, malam ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi saluran Telegram rasminya berkata, pelaporan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 16 orang setakat ini.

Dalam kenyataan itu MKN berkata, kes kematian ke-16 atau kes ke-1334 membabitkan warga negara Malaysia berusia 75 tahun dengan latar belakang beberapa penyakit kronik.

“Dia mula menunjukkan gejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac lalu dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac.

“Kesihatan dia merosot lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk bantuan pernafasan dan disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac,” katanya.

Kenyataan itu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada 24 Mac jam 7.40 malam.

“Punca jangkitan Covid-19 beliau masih dalam siasatan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 12:03am
    d