utama

Kes positif Covid-19 makin meningkat [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim

JUMLAH kes positif Covid-19 meningkat kepada 1,796 kes iaitu penambahan 172 kes baharu sehingga 12 tengah hari tadi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah kematian juga meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor.

“Tujuh hari lalu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 ialah 673 kes. Ini bermakna kes positif Covid-19 meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu.

“Keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar. Covid-19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini.

“Tidak pernah kita jangkakan kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita, tetapi di seluruh dunia.

“Kadar jangkitannya begitu cepat. Hari ini (semalam) seramai 422,829 sudah dijangkiti di seluruh dunia dengan 18,907 kematian,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang mempunyai kesedaran tinggi mengenai kepentingan untuk duduk di rumah.

“Anda ikut arahan saya. Anda tahu itu yang terbaik untuk diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling. Kesedaran dan keikhlasan anda mematuhi arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat dihargai.

“Saya tahu, bukan mudah untuk duduk diam-diam di rumah untuk satu tempoh masa yang agak lama.

“Pastinya banyak cabaran yang dihadapi pada waktu ini. Tiba-tiba gaya hidup kita berubah dengan sekelip mata.

“Saya hendak mengingatkan, jika perintah ini tidak dipatuhi, maka ia tidak akan membawa apa-apa kesan positif dan segala tindakan kita akan menjadi sia-sia. Apa pun, yang paling utama ialah kesedaran kita sendiri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 5:08pm
    d