utama

Korban Covid-19 melonjak 19 orang [METROTV]

Oleh Wartawan HM

JUMLAH kematian akibat koronavirus baharu (Covid-19) yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di Malaysia setakat ini ialah 19 orang.

Ia pertambahan empat kes kematian termasuk satu kes dilaporkan malam tadi dan satu kes lagi yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yassin tengah hari ini, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, untuk hari ini, 16 kes sudah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan discaj daripada wad sebanyak 199 kes.

“Terdapat 172 kes baru dilaporkan pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 1,796 kes.

“Sebanyak 71 kes daripada jumlah baru adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling, manakala baki 101 kes masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, sebentar tadi.

Katanya, seramai 45 kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 34 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu dalam ciapan twitter, @KKMputrajaya hari ini, menjelaskan kes kematian ke-18 adalah pesakit ke 1,625 lelaki warga tempatan berusia 56 tahun dan mempunyai penyakit kronik.

“Lelaki itu dirawat Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Meninggal dunia 23 Mac (kelmarin) 2 pagi.

“Kematian ke-19 ialah kes 1,246, wanita tempatan berusia 68 tahun. Beliau dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (Batu Pahat) pada 19 Mac (Khamis lalu) dan meninggal dunia 25 Mac (hari ini) 12.53 pagi,” ciapnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 5:45pm
    d