utama

Karikatur suntik semangat [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BERMULA dengan minat melukis sejak kecil mendorong seorang kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menghasilkan karikatur motivasi untuk rakyat Malaysia berdepan penularan wabak Covid-19.

Semua karikatur berkenaan dihasilkan sendiri dengan niat membantu pihak berkuasa dalam kempen 'Duduk Di Rumah' susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Bagi Mohd Syafie Ahmad, 42, itu adalah antara sumbangannya sebagai anggota masyarakat kepada negara dan semua karyanya itu dikongsikan di media sosial.

Malah katanya, dia beruntung apabila usahanya itu mendapat sokongan Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail yang memberi galakan agar kakitangan jabatan itu melakukan inisiatif tertentu untuk membantu terutama dalam keadaan genting ini.

"Alhamdulillah saya memang minat melukis sejak kecil, malah saya ada galeri sendiri dan ada pengikut di Facebook. Saya jadikan kelebihan ini untuk menghasilkan lukisan konsep dakwah khusus untuk Covid-19.

"Lukisan yang saya hasilkan semuanya berkaitan Covid-19 seperti kata-kata nasihat, setakat ini ada hampir 10 lukisan bermula hari pengumuman PKP," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Syafie yang juga guru di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Siraj) Abu Dzar Al-Ghifari, Kepong berkata, dia menyasarkan untuk menyiapkan satu lukisan setiap hari sepanjang tempoh PKP dan ia juga didedikasikan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan keadaan selamat.

"Kakak saya seorang doktor, jadi bila lihat dia dan mereka yang lain bekerja, saya dapat idea untuk hasilkan kartun untuk mereka yang membantu orang ramai," katanya yang mengambil masa antara 15 hingga 30 minit untuk menyiapkan satu lukisan.

Selain karikatur, Mohd Syafie juga banyak menghasilkan potret untuk orang kenamaan dan juga lukisan komersil lain.

Sementara itu Mohd Ajib berkata, pihaknya menyahut serta menyokong usaha Kerajaan agar duduk di rumah, bekerja dari rumah, mengisi masa lapang serta menyumbang kemahiran dengan menyampaikan mesej-mesej dakwah yang bersesuaian melalui platform media sosial sepanjang PKP.

Katanya, apa yang dihasilkan Mohd Syafie adalah contoh satu usaha untuk memberi kata-kata semangat dalam bentuk lukisan kepada orang ramai ketika pelbagai inisiatif diambil untuk mengekang penularan wabak pandemik ini.

"Pelbagai kaedah dan cara boleh dilakukan dalam menyokong usaha kerajaan yang boleh dilaksanakan oleh semua pihak atas kapasiti masing-masing selain melunaskan amanah bekerja dari rumah di samping meluangkan masa bersama keluarga sepanjang tempoh PKP.

"Jawi juga tidak terkecuali, selain giat menjalankan misi Musaadah Covid19 melalui Jawi Food Bank dengan kerjasama Gabungan Masjid dan Surau Jumaat Seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan serta menganggotai Pasukan Khas Pengurusan Jenazah Covid-19, kami juga menerbitkan poster dakwah dan nasihat serta menganjurkan tazkirah langsung melalui Facebook dan kempen Bacaan Surah Yasin dan Surah al-Kahfi serentak di rumah sepanjang tempoh PKP ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 9:54pm
    d