utama

Kes positif Covid-19 kini 2,031, korban 23 orang [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEBANYAK 235 kes baharu dilaporkan, hari ini, menjadikan kes positif koronavirus baharu (Covid-19) di Malaysia meningkat 2,031 kes, manakala angka korban bertambah dua kes, korban 23 kematian keseluruhan, setakat 5 petang hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan kes baharu yang dilaporkan itu, 60 kes adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Sebanyak 175 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih dalam siasatan untuk kepastian.

“Sehingga kini, 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Bagi kes kematian akibat penularaan wabak itu dalam negara, Dr Noor Hisham berkata, dua kematian baharu dilaporkan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak 23 kes.

Beliau berkata, kes kematian ke-22 membabitkan kes ke-1797, lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik dan pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Seri Petaling, Kuala Lumpur.

Katanya, pesakit itu dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia Isnin lalu, 23 Mac, 8.15 malam.

“Kes kematian ke-23 adalah seorang lelaki berusia 62 tahun dengan latar belakang penyakit kronik.

“Beliau menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh dan meninggal dunia 12.37 tengah hari tadi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 80 anggota kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) dikesan positif penyakit Covid-19, namun setakat ini, tiada kes jangkitan yang disebabkan oleh pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM.

“Daripada jumlah itu, seramai 39 anggota adalah dari kejadian kluster di Hospital Teluk Intan, Perak. Mengambil kira situasi semasa, KKM menetapkan agar semua anggota kesihatan dan anggota sokongan untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di hospital berkenaan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, walaupun dalam keadaan situasi wabak, KKM ingin menekankan bahawa Perkhidmatan Kesihatan Ibu Hamil dan Anak adalah berjalan seperti biasa.

Katanya, anggota kesihatan akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin untuk memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat manakala bagi ibu hamil dan ibu bapa yang berada di luar kawasan, boleh mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 5:11pm
    d