utama

'Abang minta maaf, jaga diri baik-baik'

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

“ABANG minta maaf, jaga diri baik-baik, I (saya) rasa I tak lama sayang, get ready (bersedia),” itu pesanan terakhir Inspektor Mohd Fairos Saberon kepada isterinya, Aiza Syafinaz Shahak, 34.

Allahyarham Mohd Fairos disahkan meninggal dunia semalam selepas positif Covid-19 pada 19 Mac lalu.

Aiza berkata, kali terakhir dia bertemu suaminya pada 18 Mac lalu di Wad Saringan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membuat saringan berhubung wabak berkenaan.

“Namun pada 19 Mac dia ada menghubungi menerusi panggilan video dan berpesan supaya saya menjaga diri kerana dia mungkin perlu dikomakan sebelum melalui proses intubasi.

“Itulah kali terakhir dia menghubungi saya sebelum menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp meminta saya bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Aiza, suaminya juga mengadu susah untuk bernafas dan keadaan di wad berkenaan panas.

“Saya sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh dijangkiti Covid-19, sebelum ini memang kami ada bercuti di Bandung, Indonesia pada 9 hingga 12 Mac lalu.

“Tetapi sebelum bercuti dia memang mengalami demam dan sudah membuat pemeriksaan di klinik,” katanya.

Katanya, arwah seorang pegawai polis yang berdedikasi dan sering mengikut arahan pegawai atasan.

“Dia tidak pernah menolak arahan pihak atasan, dia juga pernah beritahu dia ingin mati sebagai negarawan.

“Hari dia meninggal dunia semalam adalah Hari Polis yang ke-213. Jiwa dia memang sangat mendalam dalam bidang kepolisan,” katanya.

Menurutnya, jenazah arwah suaminya selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuang, Rawang pada 4 pagi tadi.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa ahli keluarga terdekat hadir pada proses pengebumian.

“Saya kini masih dalam tempoh kuarantin sehingga 31 Mac ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 2:52pm
    d