utama

4 kluster Covid-19 dikesan di Simpang Renggam [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Kesihatan mengesan terdapat empat kluster di daerah Kluang sehingga menyebabkan 88 individu di kawasan berkenaan dijangkiti koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat kluster berkenaan disyaki berasal dari kluster tabligh.

"Siasatan masih dijalankan, dan dari siasatan yang dibuat kita dapati ada empat kluster. Ada diantara mereka menyertai perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling.

"Pesakit berkenaan kemudiannya menghadiri solat jemaah dan menjangkiti jemaah lain dan kemudiannya mereka menghadiri majlis perkahwinan yang terdapat di kawasan berkenaan," katanya dalam sidang media harian COVID-19, Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 88 kes dilaporkan membabitkan penduduk di daerah berkenaan.

"Daripada jumlah berkenaan, 74 kes daripadanya adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

"KKM mensasarkan sebanyak 300 sampel ujian akan diambil setiap hari daripada penduduk kedua dua kawasan.

"Pensampelan berkenaan akan diutamakan terhadap golongan kontak rapat, individu bergejala, dan golongan atau kumpulan yang berisiko terlebih dahulu," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata kerja pembersihan dan disinfeksi di tempat-tempat awamturut dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Daerah Simpang Renggam.

"Kerja pembersihan akan bertumpu di tempat-tempat tumpuan awam. Penerangan juga akan diberi kepada semua penduduk mengenai tatacara disinfeksi rumah yang betul," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 5:42pm
    d