utama

1 Destinasi seminggu

Oleh Reuters

Beijing: China mengarahkan jumlah penerbangan antarabangsa ke negara itu dikurangkan secara drastik susulan peningkatan kes import koronavirus baharu (Covid-19).

Perintah itu susulan 54 kes import wabak itu yang dilaporkan pada Khamis.

Langkah itu bertujuan mengekang gelombang baharu Covid-19 daripada kes import.

Pihak berkuasa mendakwa peningkatan kes disumbang rakyat China yang baru pulang dari negara asing.

Daripada 54 kes import yang dilaporkan, Shanghai merekodkan kes tertinggi dengan 17 kes diikuti Guangdong (12) dan empat kes masing-masing di Beijing dan Tianjin.

Kini, ada 125 pesakit dirawat di Shanghai selepas pulang dari luar negara dengan 46 daripadanya dari Britain dan 27 lagi dari Amerika Syarikat.

Sementara itu, media melaporkan China mengarahkan syarikat penerbangan antarabangsa mengehadkan penerbangan kepada hanya satu destinasi di negara itu dan hanya sekali dalam seminggu.

Bagi syarikat penerbangan domestik, pihak berkuasa mengarahkan syarikat penerbangan menetapkan hanya satu penerbangan untuk satu destinasi antarabangsa dan hanya sekali dalam seminggu.

Dalam pada itu, Kementerian Luar China juga menggantung kemasukan warga asing dengan visa dan permit residen sah bermula hari ini, sebagai langkah sementara.

Sebelum perintah terbaharu itu dikuatkuasakan, secara purata 20,000 pengembara memasuki China setiap hari menerusi penerbangan antarabangsa dengan 10 peratus daripadanya warga asing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 6:30am
    d