utama

'Amat sukar, tapi kami patuh' [METROTV]

Oleh Azrul Affandi Sobry

PENDUDUK Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), meskipun berdepan situasi sukar yang diumpamakan seperti zaman perang.

Ini kerana dalam tempoh penguatkuasaan ini, mereka tidak dibenarkan keluar rumah, malah dilarang sebarang pergerakan dalam kampung itu termasuk penutupan semua kedai yang sebelum ini dibenarkan beroperasi.

Malah, menurut Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung itu, Najmuddin Dimyati, mereka kini perlu bergantung sepenuhnya dengan segala bentuk bantuan termasuk makanan dan keperluan harian yang dihantar oleh pihak berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menerusi perbualan video eksklusif wartawan, Najmuddin berkata, meskipun ia satu tempoh yang amat memilukan, penduduk kampung tetap patuh dan mengikut semua arahan pihak berkuasa bagi memastikan penularan wabak Covid-19 tidak berterusan di kampung itu.

“Memang apa yang kami rasa ketika ini sesuatu yang amat memilukan dan amat sukar tetapi kepatuhan penduduk kampung amat tinggi. Apa saja arahan yang diberikan termasuk meminta semua penduduk menjalani saringan dan pemeriksaan dipatuhi dengan baik.

“Setiap hari bermula sehari sebelum PKPD dilaksanakan di sini, petugas kesihatan sudah mengunjungi rumah ke rumah untuk mengenalpasti mereka yang ada gejala dan ramai sudah diarahkan untuk hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ibrahim Majid yang menjadi pusat pemeriksaan kesihatan penduduk.

“Di sekolah itu, semua kami akan disaring sekali lagi dan diambil sampel. Pemeriksaan pertama, sampel cecair diambil dari hidung dan mulut. Saringan kedua pula, ada yang diambil sampel darah sebelum disahkan sama ada positif atau negatif,” katanya.

Berkenaan bekalan makanan pula, beliau berkata, setiap hari ada petugas JKM dan agensi lain menghantar ke setiap rumah dan setakat ini hampir semua rumah sudah menerima bahan makanan kering.

Difahamkan, bekalan bahan makanan basah akan dihantar dalam sehari dua ini dengan jaminan semua rumah akan mendapat keperluan itu setiap hari.

“Kami sudah dimaklumkan apa saja keperluan penting termasuk lampin bayi pakai buang boleh diminta untuk diuruskan petugas kebajikan. Malah, saya sendiri terbabit secara langsung dalam mengedarkan keperluan ini kepada penduduk kampung.

“Kalau nak keluar, memang tak boleh. Ada yang nak sidai kain pun kena curi-curi sebab arahan yang kami terima umpamanya pintu dikunci terus dan tidak boleh keluar walaupun di perkarangan rumah sendiri,” katanya.

Justeru, Najmuddin berharap semua rakyat negara ini patuh kepada arahan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini supaya apa yang dialami dan dirasai penduduk kampung mereka tidak turut sama dirasai penduduk kawasan lain.

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 9:58pm
d