utama

'Biarlah kalau ada yang nak kecam'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

“BIAR ada yang mengecam nada saya keras dan tegas ketika melakukan hebahan kerana apa yang penting masyarakat patuh dengan arahan kerajaan,” kata Glynn Dexter, 27.

Rakaman video Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran itu melakukan hebahan dengan nada tegas tular di laman sosial dan mengundang maklum balas positif daripada masyarakat setempat.

Menurutnya, kini sudah tiba fasa masyarakat perlu patuh dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian koronavirus baharu (Covid-19) kerana jumlah pesakit yang semakin meningkat.

“Jika pada awal PKP dilaksanakan, hebahan dibuat dalam nada yang lebih santai namun ada masyarakat yang tidak memandang serius arahan yang diberikan dan masih keluar melakukan aktiviti di luar rumah.

“Pendekatan yang lebih tegas perlu digunakan agar mereka faham kepentingan patuh kepada arahan berkenaan kerana kini masyarakat perlu beri kerjasama untuk diri sendiri dan komuniti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, tular di laman sosial video Glynn dan seorang rakan sekerja melakukan hebahan secara tegas kepada beberapa individu yang masih degil dengan melakukan senaman dan aktiviti di luar rumah.

Dia yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang berkata, sejak PKP dilaksanakan, pasukannya akan melakukan hebahan di sekitar Seberang Perai Tengah dengan menyasarkan sebanyak mungkin kawasan bermula 8 pagi hingga 7 malam.

Katanya, sebelum perintah itu dikuatkuasakan, dia sudah melakukan aktiviti kesedaran di sekolah, pasar awam dan lokasi tumpuan awam mengenai bahaya Covid-19 dan langkah perlu diambil bagi menghindar wabak maut terbabit.

“Saya bertanggungjawab kepada masyarakat di daerah ini, jadi apa saja kaedah yang terbaik akan digunakan kerana apa yang penting mereka patuh.

“Tiada istilah jemu dan penat dalam menjalankan tugas kerana saya anggap ini adalah amanah yang perlu dipikul dan dilunaskan sebaik mungkin agar Malaysia bebas dengan pendamik ini,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Glynn berkata, tahap pematuhan masyarakat perlu dipertingkatkan kerana wabak ini tidak mengenal siapa dan memutuskan rantaian adalah cara yang paling cepat untuk memerangi Covid-19.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 8:55pm
d