utama

Lelaki patah hidung, Myvi rempuh balai polis

Oleh Siti Rohana Idris

AKIBAT tersilap tekan pedal minyak, kereta dipandu seorang wanita merempuh Balai Polis Ketereh, Kota Bharu, pagi tadi.

Kejadian 10.15 pagi itu juga mengakibatkan seorang lelaki yang ingin berurusan di balai polis itu patah tulang hidung dan cedera di muka.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu oleh wanita berusia 55 tahun itu dari Kampung Pasir dan ingin ke Kok Lanas.

Beliau berkata, ketika tiba di lampu isyarat dan ingin meneruskan perjalanan, dia tertekan pedal minyak sebelum terlanggar sebuah kereta di hadapan dan kemudiannya merempuh balai polis.

"Kenderaan itu juga turut terlanggar seorang lelaki yang ingin berurusan di kaunter menyebabkan mangsa yang berusia 49 tahun cedera dan mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, banyak kerosakan berlaku membabitkan kaunter, bahagian hadapan balai dan peralatan komputer.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, adik mangsa, Afendi Ismail, 40, berkata dia menerima panggilan telefon dari abangnya, Anuar Ismail yang memberitahu dia dilanggar kereta di dalam balai polis berkenaan.

Dia berkata, abangnya yang juga pesara tentera ke balai polis itu bertujuan mendapatkan surat pelepasan untuk pulang sementara ke Bentong, Pahang bagi melihat keadaan rumahnya di sana.

"Dalam keadaan kesakitan, dia masih mampu menelefon saya menyuruh agar segera ke balai polis kerana dia dilanggar kereta.

"Sebaik sampai, saya terkejut melihat ramai orang termasuk anggota bomba hadir ke lokasi dan lebih terperanjat dengan keadaan balai polis yang teruk akibat rempuhan.

"Abang dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans dan selepas dibuat imbasan sebentar tadi, doktor mengesahkan tulang hidungnya patah dan menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya sambil mengucapkan syukur kerana abangnya sempat mengelak dan hanya terjatuh akibat terlanggar cermin sisi kenderaan itu sahaja.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 3:19pm
d