utama

Covid-19: Kluster baharu di Sendayan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

SATU lagi kluster baharu dikesan di Sendayan, Negeri Sembilan dengan 39 individu termasuk 11 sekeluarga dan 13 pelajar tahfiz disahkan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan bersepadu dan berharap wabak itu dapat dibendung dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, jemaah tabligh di perhimpunan Sri Petaling masih kekal sebagai kluster terbesar Covid-19 di negara ini dengan 40 peratus.

“Terdapat peningkatan kes mendadak di Negeri Sembilan disebabkan kluster baharu ini apabila 39 orang disahkan positif Covid-19.

“Mereka terdiri daripada 13 pelajar tahfiz, satu keluarga merangkumi 11 orang dan 15 orang lembaga pengarah,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, tindakan giat dilakukan KKM untuk membendung penularan virus itu di Sendayan.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, seramai 573 individu sudah disaring di kawasan Masjid India selepas menjadi lokasi kelima dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok.

“Setakat ini tiada penduduk positif tetapi terdapat aktif kes di kawasan berkenaan.

“Seramai 573 individu sudah diambil sampel dan kita perlu menunggu 24 jam untuk mengetahui keputusan saringan mereka,” katanya.

Menurutnya, PKPD dilaksanakan supaya penularan wabak itu dapat dibendung dan tidak merebak ke kawasan lain seperti yang berlaku di empat kawasan PKPD lain yang dilihat berkesan menangani jangkitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 6:48pm
    d