utama

FAM perlu siasat PFA

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) disaran melakukan siasatan terperinci berhubung pembabitan beberapa pemimpin Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dalam aktiviti bola sepak tanah air.

Difahamkan, Perlis United yang beraksi dalam saingan Liga M3 didalangi oleh beberapa individu dari PFA yang sepatutnya tidak boleh terbabit dengan bola sepak selepas mereka diharamkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ekoran masalah hutang pasukan.

Lebih tepat, operasi pengurusan Perlis United dikawal oleh ‘tangan-tangan ghaib’ daripada PFA untuk bersaing dalam liga domestik tanpa pengetahuan FIFA mahupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut bekas ketua pasukan Perlis United, Azizi Mat Rose, secara asasnya kelab berkenaan dimiliki oleh dua pihak membabitkan individu daripada pengurusan lama iaitu Tambun Tulang FC dan individu PFA.

“Sebenarnya kami pun hairan sebab FIFA dah tak bagi wakil PFA aktif dalam bola sepak.

“Masa kami mula-mula sain kontrak orang PFA itu memang ada siap bagi ucapan. Gaji yang kami dapat pun dari orang PFA itu. Cuma atas kertas nama depa memang tak ada dalam organisasi Perlis United,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kata bekas pertahanan Kelantan itu lagi, lantas dia mengakui tidak terkejut apabila pengurusan Perlis United bersikap ‘lepas tangan’ dengan menamatkan kontrak pemain tanpa prosedur atau tatacara yang sah.

Malah, gaji bagi bulan Mac juga hanya dibayar separuh kepada semua pemain dan pegawai pasukan.

“Pemain dihubungi untuk ambil gaji masing-masing bagi bulan Mac. Bila kami sampai sana (pejabat kelab), kami diminta untuk sain surat penamatan kontrak. Kalau kami tak sain, pemain takkan dapat gaji bulan Mac.

“Lepas kami berbincang agak lama antara pemain, masing-masing terus sain sebab amat perlukan duit itu. Ingatkan dapat penuh, rupanya dapat separuh saja dan sekarang pemain dah tak ada pasukan.

“Saya ada bertanya juga kenapa tamatkan kontrak kami sedangkan FAM tak cakap pun liga batal, kalau betul batal kami setuju saja untuk tamatkan kontrak.

“Kesian kat budak-budak muda macam 25 tahun, 23 tahun dan lain-lain. Diorang boleh main bola lagi, tapi bila jadi macam ini budak-budak ini dah serik,” katanya yang kini beralih ke bidang perniagaan yang diusahakannya sendiri,” katanya.

Berita berkaitan

Mahu penjelasan

Paksa berhenti?

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 6:30am
d