utama

Kanak-kanak empat tahun rentung

Oleh Omar Ahmad

KANAK-kanak lelaki berumur empat tahun rentung dalam kebakaran rumah di Jalan Bukit Pasir, Kampung Bukit Pasir, Endau, Mersing, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa, Mohammad Faris Sohari ditemui pasukan penyelamat di bahagian tangga tingkat bawah rumah dua tingkat terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, rumah itu didiami bersama 18 sekeluarga termasuk mangsa yang juga cucu pemilik rumah, Kahar Adam, 65.

Katanya, 17 lagi mangsa yang selamat berusia setahun hingga 65 tahun terdiri pada isteri Kahar, anak dan menantu serta cucu kepada pasangan berkenaan.

“Empat jentera bersama 21 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.19 malam.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, rumah dua tingkat jenis separuh kekal terbakar kira-kira 70 peratus pada bahagian atas.

“Mayat dijumpai berada pada bahagian tangga tingkat bawah sebelum diserahkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Alias berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa cuba diselamatkan ahli keluarga namun tidak berhasil berikutan api kebakaran marak dengan pantas.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 12:40pm
d