utama

Kluster Pengerang, jangkiti 15 individu

Kuala Lumpur: Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam mendedahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster yang bermula di Pengerang, Johor.

Menurutnya, kes indeks (iaitu kes ke-1508) kluster ini mula mengalami gejala pada 12 Mac lalu.

“Beliau dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac dan disyaki sebagai menghidap demam denggi. Pada keesokan hari, beliau merentas beberapa negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac lalu.

“Keadaan kesihatan beliau mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac dalam keadaan yang kritikal sebelum disahkan positif jangkitan Covid-19 pada 22 Mac,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, setakat 22 April, kluster ini sudah membabitkan 15 kes positif Covid-19 iaitu sepuluh rakan sekerja dan lima ahli keluarga kes indeks, termasuk ibu beliau yang berusia 79 tahun dan anak perempuan berusia 10 tahun.

“Sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih di dalam rawatan manakala lapan lagi pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj. Secara keseluruhan, tiga kes di dalam kluster ini dirawat di ICU.

“Jangkitan dalam kalangan ahli keluarga yang menetap di negeri lain adalah dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan PKP,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 5:15pm
d