utama

Pilih bersederhana

Oleh Norhayati Nordin

ESOK, masyarakat Islam di negara ini mula menjalani ibadah puasa. Bagaimanapun, situasi dan pengalamannya pasti berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Berikutan negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memerangi penularan Covid-19, solat Tarawih di masjid dan surau tidak dibenarkan dan tiada bazar Ramadan.

Bagi penyanyi dan pelakon popular, Siti Nordiana Alias atau Nana, 36, dia reda dengan segala yang berlaku ketika ini yang disifatkannya sebagai perubahan baru.

“Di atas apa yang berlaku sekarang, saya rasa kita semua perlu menerimanya dengan positif kerana ini dinamakan perubahan dalam hidup.

“Saya yakin ada hikmah di sebaliknya yang sudah diaturkan Allah SWT. Cuma, kita sebagai hamba-Nya harus sentiasa bersangka baik dengan perancangan Allah.

“Walaupun tiada solat Tarawih di masjid, saya percaya kita semua ada banyak masa untuk tingkatkan ibadah masing-masing di rumah. Sudah pasti, banyak aktiviti ilmu untuk menambah amalan boleh dilakukan,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Ramadannya setiap tahun, Nana berkata, sebelum ini dia tidak selalu berbuka puasa dengan keluarga di rumah kerana terikat pelbagai aktiviti kerja seni seperti persembahan menyanyi dan penggambaran drama.

“Saya jarang dapat berbuka puasa bersama keluarga di rumah. Jadi, sudah tentu masak pun kadang-kadang. Namun, selalunya untuk juadah berbuka ibu saya yang sediakan.

“Saya suka makan sedap-sedap kalau dapat berbuka dengan keluarga. Jadi, mestilah masakan air tangan ibu yang paling sedap,” katanya.

Menurut Nana, Ramadan kali ini dia berhasrat mahu pertingkatkan ibadah diri kerana ada banyak masa duduk di rumah dan semoga dipermudahkan.

Nana berkata, dia lebih bersederhana dalam persiapan Ramadan dan Syawal nanti.

Banyak aktiviti seni tangguh

Jika sebelum ini, jadual kerja seni Nana sangat padat. Sekarang, semuanya tertangguh dan ada yang dibatalkan.

Katanya, dia sepatutnya ada penggambaran muzik video untuk lagu baru termasuk satu projek drama bagi tayangan istimewa sempena Aidilfitri.

“Apapun, melihat pada situasi wabak sekarang, bagi saya yang paling penting adalah kesihatan dan keselamatan. Memang dah tak boleh berkumpul langsung.

“Namun, hubungan rapat saya dengan peminat tidak terjejas kerana diteruskan melalui pelbagai perkongsian video di Instagram dan saluran YouTube saya,” katanya.

Nana berkata, bagi menghargai sokongan peminatnya juga, dia menghiburkan mereka menerusi perkongsian video Smule yang dibuat mengikut permintaan lagu mahu didengar.

Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 6:00am
d