utama

Abang tetak adik lima kali

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI parah di tangan, kaki, lengan dan belakang badan selepas ditetak abangnya dalam pergaduhan di dapur rumah mereka di Jalan Sekolah Rendah Kampung Kota Setia, Teluk Intan, semalam.

Dalam kejadian pada 7 malam itu, mangsa berusia 38 tahun ditetak abang kandungnya dengan menggunakan parang panjang sebanyak lima kali.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, punca kejadian disebabkan pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek yang berusia 42 tahun.

Menurutnya, suspek didakwa memarahi ibu mereka sehingga menyebabkan wanita itu menangis dan mangsa cuba mempertahankan ibunya sehingga membawa kepada pergaduhan antara dia dengan suspek.

"Mangsa luka di bahagian jari tangan kiri, lengan kiri, kaki kiri dan belakang badan selepas dipercayai ditetak sebanyak lebih kurang lima kali dengan menggunakan parang.

"Ahli keluarga mangsa yang lain kemudian membawa mangsa ke Hospital Teluk Intan dan mangsa menjalani pembedahan kecil di bahagian jari tangan kirinya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun katanya, suspek sudah melarikan diri dan usaha mengesan lelaki itu sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 1:16pm
d