utama

Da'i Farhan sudah ceraikan Dr Erin

Oleh Najiy Jefri

 

ATAS alasan tidak boleh berjauhan dengan  anak dan syarat yang ditetapkan bekas madu, isteri kepada pendakwah bebas, Da'i Farhan yang dikenali Dr Erin mengesahkan sudah diceraikan suaminya  pada 27 April lalu.

Berita perceraian yang dikongsikan Dr Erin atau nama sebenarnya Noorainul Naqim Mohd. Radzi, 40, di Instagram itu adalah keputusannya sendiri demi kebaikan semua pihak termasuk bekas madu, Fatin Nurul Ain.

"Untuk pengetahuan semua, ustaz sudah melafazkan cerai terhadap saya pada 27 April lalu selepas saya sendiri meminta untuk dilepaskan. Saya yakin ini yang terbaik untuk kami bertiga. Saya juga tahu pihak sana (bekas madu) tak boleh 'move on'.

"Perceraian ini saya yang minta sebab saya dah penat dengan episod kejap kata nak rujuk sana dan nak ceraikan saya. Kemudian tak jadi cerai saya dan nak pujuk sana untuk bermadu dengan saya. Selepas itu nak bercerai balik. Saya tahu ustaz pun serba salah. Disebabkan itu saya memilih untuk diceraikan dengan rela," katanya.

Menurut Erin, dia mengizinkan Farhan  untuk kembali kepada pangkuan bekas isterinya kerana suaminya tidak boleh berpisah lama dengan anak-anak.

Katanya, antara syarat yang ditetapkan isteri Farhan adalah dia  perlu menceraikannya kerana keluarganya tidak merestui anaknya hidup bermadu.

"Pada 11 Februari lalu saya mengizinkan ustaz untuk kembali dengan bekas isteri kerana selepas pulang dari berjumpa anak-anaknya, dia cakap pada saya dia tak boleh berjauhan daripada anak-anak. Dia kata pihak sana bagi syarat nak duduk dengan anak boleh, tapi kena ceraikan saya sebab ibu bapanya takkan bagi anak dia bermadu.

"Sebab terlalu sayangkan bekas suami, saya cakap kepadanya bawa saya balik berjumpa mentua dan bekas madu untuk saya sendiri serahkan dia semula. Biarlah asalkan dia dapat bersama anak-anaknya," katanya.

Menurutnya, jika diikutkan Februari lalu dia sudah minta untuk diceraikan, namun ada sahaja halangan sehinggalah mendapat perkhabaran sudah hamil baru- baru ini.

"Saya reda jika ini ujian saya untuk kehilangan orang yang saya sayang daripada tengok dia susah hati dan rindu dengan anak-anak. Lebih baik saya mengalah.

"Saya sudah tidak mengharapkan apa-apa daripadanya dan hanya tunggu masa nak diceraikan saja. Sejak bulan Februari nak cerai ada saja masalah datang sampailah saya nekad nak akhiri pada bulan Ramadan ini demi kebaikan semua tapi saya tahu mengandung pula. Namun saya nekad dengan keputusan saya untuk mengakhirinya," katanya.

 

Dalam masa sama, Erin meminta supaya dirinya tidak lagi dikaitkan dengan pendakwah bebas itu dan memohon maaf kepada mana-mana yang pernah terluka sepanjang perkahwinannya dengan Farhan.

"Saya harap selepas ini tolong jangan kaitkan dia dengan saya. Apa-apa saya yang saya kongsikan di media sosial adalah atas diri saya sendiri. Saya yang baru nak dapat hidayah ini sememangnya tak layak dengan golongan agamawan.

"Biarlah dia jalani kehidupan dia seperti biasa dengan ketenangan dan kebaikan. Saya ingin meminta maaf kepada sesiapa yang tergores hati dan terkesan atas pernikahan saya dengannya. Saya terima lamarannya dulu sebab ilmu agama dan kebaikan yang saya nampak dalam dirinya ketika itu. Saya sangat harap dia boleh bawa saya ke syurga," katanya.

Pernikahan Farhan atau nama sebenarnya Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad, 30, dengan Erin yang juga ibu tunggal anak lapan di Makkah pada November tahun lalu mendapat perhatian masyarakat apabila dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertamanya, Fatin.

Bagaimanapun, Farhan kemudian mengambil keputusan menceraikan isteri pertamanya yang ketika itu sarat mengandung anak kedua mereka. Cerai itu dilafazkan menerusi rakaman suara di aplikasi WhatsApp pada 3 Disember tahun lalu.

 

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 8:01am
d