utama

Tentera Selempang Merah

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

ULAMA disegani dari Johor, Allahyarham Tuan Guru Datuk Kiyai Shamsudin Redzuan bukan calang-calang individu.

Kiyai Shamsudin bukan setakat pakar dalam ilmu agama, malah perubatan Islam dan pendidikan.

Bahkan, Kiyai Shamsudin juga memiliki kehebatan ilmu mempertahankan diri dan menjadi seorang daripada ketua Pasukan Selempang Merah yang menentang pemberontakan bekas anggota Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA).

Kiyai Shamsudin serta pasukannya itu turut menentang pengganas komunis semasa zaman Bintang Tiga bermaharajalela di sekitar Muar serta Batu Pahat.

Perjuangan Allahyarham yang menjaga wilayah utara iaitu Muar dan Tangkak, bersama Kiyai Salleh Abdul Karim (menjaga Batu Pahat) dibuat demi mempertahankan maruah agama serta bangsa.

Anak Allahyarham, Mustaffa Kamal, 54, berkata, dia masih teringat perbualan bersama arwah bapanya yang mana dia bertanya, mengapa mereka adik beradik tidak mempunyai selempang merah sepertinya (bapa).

"Arwah mengatakan 'berperang' pada zaman sekarang bukan menggunakan senjata, tetapi dengan pendidikan kerana baginya, tanpa ilmu, seseorang itu tidak boleh berjuang.

"Arwah turut memberitahu abang saya bahawa selendang merah yang dipakai Tentera Selempang Merah sebahagiannya ditulis Selawat Kamilah selain ayat al-Quran.

"Tujuannya (Selawat Kamilah) untuk membangkitkan keyakinan kepada pejuang Islam ini (Tentera Selempang Merah) ketika berhadapan dengan pengganas komunis," katanya.

Menurut Mustaffa, selawat itu juga menjadi amalan harian mereka sekeluarga yang tidak boleh ditinggalkan dan perlu dibaca 11 kali selepas solat lima waktu.

Berkongsi sisi peribadi Allahyarham, Mustafa Kamal berkata, Kiyai Shamsudin sangat tegas terhadap anak-anak dalam soal pendidikan, solat di awal waktu dan kebersihan.

"Setiap hari kami perlu memenuhi masa dengan membaca buku dan mengulangkaji pelajaran.

"Arwah juga tidak suka jika kami menonton televisyen atau mendengar radio kerana baginya aktiviti itu melekakan," katanya.

Menurutnya, Allahyarham juga mementingkan anak-anak belajar dengannya setiap hari sebelum ke sekolah.

"Selepas solat Subuh berjemaah, kami adik beradik perlu mengaji al-Quran dan membaca kitab bahasa Arab serta memahami terjemahannya.

"Seawal usia empat dan lima tahun, kami adik beradik dihantar ke sekolah pondok yang ditubuhkan arwah ayah untuk mempelajari bahasa Arab, sebelum meneruskan pendidikan akademik pada usia 16 tahun," katanya.

Bagi mengembangkan syiar Islam, Allahyarham menubuhkan sekolah pada 1940 di Kundang Ulu, Grisek, Tangkak.

Mata pelajaran diajar termasuk tauhid, fiqh, hadis, nahu, saraf dan pelbagai lagi.

"Bermula sebagai sekolah persendirian, Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah terus berkembang dan kini ia dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama (SMA) Shamsuddiniah di bawah Kerajaan Persekutuan.

"Sekolah ini turut memainkan peranan penting dalam kemajuan pendidikan di Johor.

"SMA Shamsuddiniah adalah legasi peninggalan arwah ayah dan beliau berpesan supaya mengekalkan sistem pendidikan agama di sekolah ini," katanya yang juga Yang DiPertua Majlis Perbandaran Muar.

Selain itu, hasil ketinggian ilmu agama dimilikinya selepas menuntut selama 15 tahun di Indonesia termasuk berguru dengan ulama terkenal di negara berkenaan, Allahyarham dilantik sebagai penasihat Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Allahyarham meninggal dunia pada 1997 ketika usianya 86 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tiong Baru, Bukit Rahmat, Gersik, Tangkak, Johor.

Nama

Allahyarham Tuan Guru Datuk Kiyai Shamsudin Redzuan

Tarikh Lahir

11 November 1911

Tempat Lahir

Jawa Timur, Indonesia

Meninggal dunia

1997 pada usia 86 tahun

Jawatan

Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Ahli Jemaah Majlis Diraja Johor, Ahli Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor, Penasihat Baitulmal, Penasihat Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Imam kariah, Penolong Pendaftar nikah, cerai dan rujuk.

Sumbangan

1-Membina Masjid Kampung Parit Medan, Gersik, Tangkak, Johor yang masih digunakan hingga hari ini.

2-Menubuhkan Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah.

3-Penulisan buku

3.1. Kitab himpunan selawat yang bertajuk Majmu'atush Sholawat

3.2. Doa Warisan

Hasil didikan Allahyarham melahirkan anak-anak yang hebat dalam kerja masing-masing:

1. Syarkawi Shamsudin - Imam Masjid Dato' Kiai Hj Shamsudin Parit Medan, Gersik, Tangkak, Johor.

2. Hambali Shamsudin - Guru SMA Shamsuddiniah, Parit Medan, Gersik, Tangkak, Johor.

3. Sya'diah Shamsudin - Bekas Guru Kanan Sekolah Menengah Agama Kajang, Selangor.

4. Mohd As'ed Shamsudin - Pengetua Sekolah Menengah Tengku Mahmud Iskandar.

5. Datuk Mohd Tahrir Shamsudin - Mantan Mufti Johor.

6. Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin - Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia.

7. Datuk Md Rofiki Shamsudin - Pengarah Jabatan Agama Islam Johor.

8. Mustafa Kamal Shamsudin - Yang DiPertua Majlis Perbandaran Muar.

9. Mohd Taufiq Shamsudin – Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid Jabatan Agama Johor.

10. Rafe'ah Shamsudin – Pendakwah bebas di Pontian, Johor.

Keterangan gambar

1-ALLAHYARHAM Tuan Guru Datuk Kiyai Shamsudin

2-ANTARA koleksi kitab Allahyarham

3-SEKOLAH Menengah Agama Shamsuddiniah yang dibina Allahyarham

4-BUKU Doa Warisan ditulis Allahyarham

Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 6:45am
d