utama

Covid-19: Dua hari tiada kematian, pulih melebihi kes baharu [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

TIADA kes kematian berkaitan virus Covid-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), hari ini.

Bilangan kes pulih Covid-19 melebihi kes jangkitan baru apabila sebanyak 88 kes pulih dan dibenarkan keluar wad berbanding 68 kes baru.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj adalah sebanyak 4,864 kes atau 74.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Terdapat 68 kes baru dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 6,535 kes," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, daripada 68 kes baharu yang dilaporkan hari ini, empat kes import direkodkan.

"Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 64 kes. Empat kes import adalah membabitkan kepulangan rakyat Malaysia United Kingdom iaitu tiga kes dan Amerika Syarikat, satu kes," katanya.

Katanya, ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 64 kes, di mana sebanyak tiga kes dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Sehingga kini, seramai 18 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 4:46pm
    d