utama

Covid-19: 54 kes baharu, satu kematian hari ini [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

SEBANYAK 54 kes baharu positif Covid-19 membabitkan 45 kes daripadanya adalah warga asing setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 6,589 kes.

"Sebanyak 65 kes sudah sembuh jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,929 atau 74.8 peratus daripada keseluruhan kes.

"Daripada 54 kes baharu dilaporkan hari ini, hanya satu dari kes import dan selebihnya dari penularan tempatan yang dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 1,552 kes. Mereka kini sudah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan hingga kini terdapat 18 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian dengan , jumlah kumulatif kematian di Malaysia adalah sebanyak 108 kes atau 1.64 peratus.

"Kes kematian ke-108 (kes ke-2499) adalah perempuan warga Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun, darah tinggi dan penyakit tiroid.

"Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling. Mangsa dirawat di Hospital Melaka pada 29 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia jam 11.23 malam, semalam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 5:04pm
    d