utama

Shahir, Mastura...hero kita

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

IKHLAS dan bersungguh-sungguh. Itu kata semangat yang dipegang ketika bertugas demi memastikan negara bebas Covid-19.

Pembantu Kesihatan Awam, Muhamad Shahir Mohd Razali, 24, tidak menyangka gambar dia mendukung wanita warga emas sambil dibantu rakan setugas tular dan mendapat perhatian masyarakat.

Lebih manis, gambar itu turut mendapat perhatian 'lelaki berjaket hitam', Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang turut berkongsi gambar berkenaan di akaun Facebook (FB) beliau semalam bersama kata-kata semangat.

Menceritakan semula situasi itu, Muhamad Shahir berkata, dia bersama rakan setugasnya, Mastura Maznor dari Pejabat Kesihatan Cheras ditugaskan membuat pencarian awam di Pasar Pudu pada Selasa lalu.

Menurutnya, seorang wanita warga emas berusia 70-an yang juga peniaga barang runcit kemudiannya diminta untuk membuat ujian saringan di khemah yang terletak 400 meter dari kedainya.

"Wanita itu bertongkat dengan kedua-dua kakinya berbalut dibawa ke khemah untuk diambil sampel namun disebabkan kedainya jauh, kami perlu mengiringinya.

"Sebaik berada kurang 50 meter dari khemah saringan, wanita itu sudah tidak bermaya dan pucat menyebabkan saya ambil keputusan untuk mendukungnya," katanya.

Dia berkata, apa yang terlintas di fikirannya ketika itu hanyalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat walaupun lengkap menggunakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Menurutnya, dalam keadaan cuaca yang panas ditambah pula ketika menjalani ibadah puasa, dia tetap gagahkan diri kerana kasihan melihat keadaan wanita berkenaan yang sudah tidak bermaya meneruskan perjalanan.

"Kata semangat dari masyarakat apabila gambar ini tular menaikkan lagi motivasi saya dan rakan lain untuk terus komited menjalankan tugas sebagai barisan hadapan dalam menangani Covid-19," katanya yang genap dua tahun bertugas pada bulan ini.

Bagi Mastura, 37, yang juga Pembantu Kesihatan Awam terharu apabila gambar ketika bertugas mendapat perhatian Dr Noor Hisham.

Menurutnya, gambar itu dirakam seorang jurugambar yang membuat liputan di Pasar Pudu sebelum tular di media sosial.

"Ini detik manis sepanjang bertugas yang akan disimpan sebagai kenangan sepanjang negara berdepan dengan kemelut Covid-19.

"Kata semangat diberikan masyarakat menjadi kekuatan dan motivasi kepada kami untuk terus bertugas demi negara," katanya.

p>

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 11:51am
    d