utama

Tok Guru Haji Malek jalan kaki 155km demi ilmu

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BIARPUN namanya kurang dikenali, Haji Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Malek Sungai Pinang antara ulama terawal di Kelantan yang cukup disegani pada suatu ketika dahulu.

Sepanjang hayatnya, Haji Abdul Malek turut berjaya melahirkan ramai ulama dan tokoh agama tersohor di nusantara termasuk Allahyarham Haji Abdul Rahman atau Tok Selehor, Tok Jerulung@Haji Mohd Said Muhammad dan Haji Samad Hasan Padang Chenok.

Bukan itu sahaja, keturunan tokoh guru pondok akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 ini juga ramai yang berjaya dalam bidang masing-masing termasuk seorang cucunya, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.

Haji Abdul Malek disegani dalam bidang ilmu al-Quran dan kitab jawi selain terbabit dalam usaha membanteras amalan khurafat dan syirik termasuk memuja kubur serta amalan ilmu sihir.

Beliau juga pernah dilantik sebagai seorang daripada pakar rujuk kepada Sultan Mansor Ibn Sultan Ahmad dalam menguatkuasakan undang-undang Islam.

Cicitnya, Nik Ismail Azlan Ab Rahman, 65, berkata, moyangnya dilahirkan di Kampung Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dan berasal daripada keluarga miskin.

Katanya, bagaimanapun sejak kecil, Haji Abdul Malek sangat meminati ilmu agama dan memiliki kecerdasan serta ingatan yang kuat.

"Ketika kecil, beliau sering ke rumah seorang guru agama di Sungai Pinang, Tumpat untuk mendengar pengajaran agama dari luar rumah.

"Pernah satu ketika, guru agama itu menyoal semua anak muridnya dan pada ketika itu, beliau yang berada di luar rumah berjaya menjawab soalan itu dengan baik berserta dengan huraian yang lengkap," katanya.

Menurut Nik Ismail Azlan, kemudian guru agama itu dengan bantuan beberapa penduduk menghantar Haji Abdul Malek ke Pattani, Thailand untuk mendalami ilmu agama.

"Pada ketika itu, tiada kenderaan dan moyang saya berjalan sejauh 155 kilometer belajar agama di Pattani sebelum ke Tanah Suci Makkah bagi menyambung pengajiannya.

"Selepas 10 tahun di Tanah Suci Makkah, Haji Abdul Malek kembali dan membuka sekolah pondok di tepi Sungai Pinang dan sejak itu, beliau menerima ramai anak murid termasuk Tok Selehor," katanya.

Tambahnya, ketinggian ilmu dimiliki Haji Abdul Malek membolehkannya dilantik sebagai seorang daripada penasihat kepada Sultan Kelantan, Sultan Mansor Ibn Sultan Ahmad.

"Pada ketika itu, beliau berusaha membanteras amalan khurafat seperti memuja kubur dan menasihatkan masyarakat supaya menutup aurat," katanya.

Mengulas lanjut, sepanjang hayatnya, Haji Abdul Malek menjadikan solat berjemaah sebagai amalan harian selain menasihati ahli keluarga supaya sentiasa berbuat baik dan terus mendalami ilmu agama.

"Sejak muda beliau tidak pernah tinggalkan solat berjemaah. Sekiranya dia keluar memberi ceramah atau mengajar, beliau tetap solat jemaah.

"Di penghujung usia, seorang daripada anaknya mendukung Haji Abdul Malek yang tidak boleh berjalan untuk menunaikan solat berjemaah di masjid," katanya.

INFO

• Haji Abdul Malek lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Malek Sungai Pinang.

• Dilahirkan di Kampung Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dan meninggal dunia pada 18 Disember 1934.

• Mempunyai tiga isteri dan sembilan anak.

• Belajar di Pattani, Thailand selama empat tahun sebelum melanjutkan pengajian di Tanah Suci Makkah selama 10 tahun.

• Membuka sekolah pondok di tepi Sungai Pinang,Tumpat.

• Pernah dilantik sebagai pakar rujuk agama kepada Sultan Kelantan, Sultan Mansor Ibn Sultan Ahmad. Terbabit dalam usaha membanteras amalan khurafat dan syirik seperti memuja kubur.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 7:10am
d