utama

Sanusi bakal MB Kedah baharu?

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor disebut bakal dilantik menjadi Menteri Besar Kedah baharu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sumber memaklumkan pemilihan Sanusi diputuskan pimpinan Perikatan Nasional (PN) membabitkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Hanya nama Sanusi dicadangkan, walaupun ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta namanya dicalonkan.

"Kita sepakat dan sebulat suara mencalonkan Sanusi seperti diputuskan di peringkat Pusat," katanya yang dihubungi, hari ini.

PN Kedah hari ini, mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada Bersatu.

Sanusi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri dan menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah ketika ini.

Sumber berkata, nama calon Menteri Besar baharu akan diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ammar Mahmood Naim bagi dipersembah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam tempoh terdekat.

Katanya, proses angkat sumpah Menteri Besar Kedah baharu dijangka dapat dilakukan sebelum hujung minggu ini bergantung kepada perkenan Sultan Kedah.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 6:32pm
d